Op Hazard rampas 11,606.09 metrik tan e-waste bernilai RM66.6 juta - JAS

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Rampasan sisa elektronik (e-waste) yang direkodkan menerusi Op Hazard 1.0 dan 2.0 mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 11,606.09 metrik tan bernilai RM66.6 juta.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Thahirah Kamarulzaman berkata, tindakan itu diambil hasil serbuan bersepadu ke atas 42 premis e-waste haram hasil pemeriksaan terhadap 122 premis di seluruh negara.
Menurutnya, Op Hazard 1.0 dilaksanakan pada 14 hingga 16 Februari, manakala Op Hazard 2.0 pada 16 dan 17 Jun lalu.
“Perundangan berhubung isu e-waste adalah di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 1989 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Bagi aktiviti pengimportan, ia tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, manakala bagi eksport, ia tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023,” katanya semasa sesi pembentangan isu e-waste sempena sesi libat urus di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sekiranya e-waste tidak diurus dengan baik dan dibuang sewenang-wenangnya, ia boleh memberi implikasi besar terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
Katanya, JAS telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengurusan e-waste, antaranya memperluaskan fasiliti pemerolehan kembali e-waste yang berlesen.
“Sehingga kini, terdapat 128 fasiliti pemerolehan kembali di seluruh negara,” ujarnya.
Selain itu, kata beliau, JAS juga memperkasa kempen kesedaran awam bagi menggalakkan pelupusan peralatan elektrik terpakai secara selamat.
Jelasnya, JAS menyeru masyarakat dan pihak industri agar bertanggungjawab dalam menguruskan e-waste secara mesra alam dengan menyalurkannya ke fasiliti pemerolehan kembali yang sah.
Op Hazard merupakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi antaranya JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
