RMK13: RM40 bilion untuk sektor kesihatan

Sektor kesihatan akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13.
Sektor kesihatan akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor kesihatan akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Tiga Belas (RMK13) bagi mengurangkan perbelanjaan rakyat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi dana berkenaan lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan dapat dilaksanakan termasuk yang daif.

Antaranya Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Negeri Sembilan, Hospital Sultanah Aminah 2 (Johor), Pusat Kanser Wilayah Utara (Kedah), Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, (Sabah) dan Pusat Kanser Sarawak.

"Sistem kesihatan awam negara pada ketika ini kian terbeban dengan isu seperti inflasi perubatan, peningkatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit (NCD) serta penuaan populasi.

"Justeru cukai pro kesihatan akan diperluas daripada gula kepada tembakau, vape dan alkohol bagi mendorong perubahan tingkah laku serta membendung peningkatan NCD," katanya ketika mebentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.

Menurutnya, ikhtiar tersebut merangkumi latihan pra perkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan.

"Pengurusan rekod kesihatan akan diperkukuh sebagai teras pendigitalan sistem kesihatan.

"Usaha ini akan memantapkan keupayaan saling kebolehkendalian merentas fasiliti kesihatan dan ini akan menyumbang kepada penjanaan analitik kesihatan berimpak tinggi yang diperkasa dengan AI sebagai usaha mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan rakyat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!