'JPKK perlu adil bagi bantuan, jangan tengok parti politik' - Anthony

SEREMBAN - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dinasihatkan supaya berlaku adil kepada semua masyarakat di bawah jagaan mereka tanpa mengira parti politik.
Ahli Parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan(ADUN) Chennah, Anthony Loke berkata, sesiapa saja yang berdepan kesusahan perlu dibantu sebaik mungkin.
"Kepada semua JPKK, kita kenal pasti orang yang benar-benar perlukan bantuan, jangan ambil kira dia siapa.
"Kita mesti berlaku adil. Jangan hanya bagi kepada penyokong parti kita sendiri saja. Kalau ikut cara pihak pembangkang yang jaga orang sendiri saja, maka kita tidak akan dapat sokongan orang ramai," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea Menteri Pengangkutan Bersama JPKK Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri(DUN) Chennah di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut memaklumkan yang menjadi amalannya untuk menguruskan kawasan jagaannya dengan berpaksikan kepada prinsip keadilan terutama dalam soal pengagihan peruntukan.
Ujarnya, sumber peruntukan diagihkan bukan saja kepada JPKK di kawasan DAP, tetapi juga di kawasan lain.
"Saya tidak kira latar belakang mereka. Selagi mereka berkhidmat di kawasan itu, maka menjadi tanggungjawab saya untuk agihkan dan sampaikan sumber peruntukan.
"Saya harap cara ini dapat dijadikan contoh kepada rakan-rakan saya di tempat lain supaya prinsip kerjasama dan keadilan kepada semua itu diamalkan," katanya.
Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada JPKK Parlimen Seremban dan DUN Chennah.
Hadir sama, ADUN Nilai, J Arul Kumar; ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; ADUN Ampangan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan ADUN Lobak, Chew Seh Yong.
Ringkasan AI
- JPKK di Parlimen Seremban dan DUN Chennah dinasihatkan berlaku adil tanpa mengira parti politik
- Anthony Loke menekankan pentingnya bantuan kepada semua yang memerlukan tanpa diskriminasi
- Penekanan pada pengagihan bantuan tanpa memihak hanya kepada penyokong parti
- Anthony Loke mengamalkan prinsip keadilan dalam pengagihan peruntukan di kawasannya
- Sumbangan disampaikan sempena Ramadan kepada JPKK Parlimen Seremban dan DUN Chennah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

