RMK13: Selangor sedia kerjasama bangunkan Pelabuhan Carey – Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempercepatkan pembangunan Pelabuhan Carey bagi menampung keperluan kapasiti kontena di Pelabuhan Klang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek strategik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu perlu disegerakan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pemindahan kargo utama di rantau Asia.
“Selangor menyambut baik pengumuman ini dan bersedia memberikan kerjasama penuh demi memastikan pembangunan Pelabuhan Carey dapat direalisasikan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Amirudin berkata, fokus terhadap industri strategik seperti semikonduktor yang beralih kepada proses bernilai tinggi membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pemain global dalam sektor tersebut.
“Kerjasama strategik bersama ARM Holdings akan membolehkan syarikat di Selangor memperoleh hak harta intelek dan terlibat dalam reka bentuk litar bersepadu serta pembungkusan lanjutan (advanced packaging), bukan sekadar lokasi pembuatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu bahawa kerajaan Persekutuan turut menawarkan 1.2 juta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan bidang ekonomi digital sekali gus mampu memanfaatkan lebih ramai graduan di negeri ini, terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi dan automasi.
Jelas beliau, pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET kini menjadikan bidang tersebut bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya pilihan utama untuk generasi muda negara yang ditawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa usaha TVET negara harus lebih berfokus dan berkait dengan 21 industri utama yang telah digariskan dalam dasar ekonomi negara iaitu NIMP2030.
“Harus ada agensi tertentu yang mampu menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta agar usaha TVET tidak mempunyai terlalu banyak lapisan bagi mengelakkan pertindihan,” jelas beliau.
Menurutnya, peruntukan RM67 bilion bagi pembangunan infrastruktur pendidikan dan kewajipan prasekolah untuk kanak-kanak berumur lima tahun memberi manfaat besar kepada kawasan bandar, khususnya di negeri Selangor yang berpenduduk padat.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga menyambut baik perancangan menambah 300 unit van Demand-Responsive Transit (DRT), 1,200 unit bas dan 217 set tren penumpang bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, khususnya bagi rakyat yang menetap dan berurusan di Lembah Klang.
“Ini adalah pengiktirafan terhadap usaha DRT yang telah pun digerakkan di peringkat pihak berkuasa tempatan di Selangor.
“Saya yakin unit van dan bas oleh Kerajaan Persekutuan dapat mengurangkan kesesakan jalan raya, terutamanya pada waktu kemuncak hari pekerjaan am,” jelasnya.
Menyentuh isu kelestarian, Amirudin menjelaskan bahawa beberapa langkah utama mampu memberikan impak positif seperti pengenalan Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang tahun 2030.
“Pengiktirafan teknologi sisa kepada tenaga (WTE) dalam RMK13 akan mendorong Kerajaan Negeri untuk meneruskan usaha ini di Selangor kerana kita tidak boleh lagi bergantung kepada tapak pelupusan sampah yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar, khususnya dalam jangka masa panjang,” tambahnya.
Beliau turut menghargai pengumuman projek tebatan banjir di Sungai Langat dan Sungai Buloh, sambil menyeru supaya proses tender dan pra-kelayakan diperkukuh agar tiada kelewatan berlaku.
Dalam masa sama, pelbagai inisiatif pengurangan kos sara hidup seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan pembinaan sejuta rumah mampu milik sehingga tahun 2035 diyakini mampu meringankan beban rakyat di bandar dan pinggir bandar.
“Saya juga melihat strategi keterjaminan makanan seperti penanaman padi lima musim dalam dua tahun yang berjaya di Sekinchan wajar diperluas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

