RMK13 tumpu tiga kebijakan utama - PM

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berpaksikan kepada tiga kebijakan utama yang menjadi titik tolak kepada usaha melakar semula pembangunan demi mengangkat martabat rakyat dan menjamin masa depan generasi akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikhtiar tersebut bukan semata-mata untuk rakyat ketika ini, tetapi lebih utama demi generasi yang bakal mewarisi tanah air ini.
Menurutnya, kebijakan pertama memberi tumpuan kepada tadbir urus baik sebagai paksi pentadbiran negara bagi memastikan kekayaan diagihkan secara adil dan saksama serta mengambil kira keperluan rakyat.
“Kerajaan Madani akan meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal,” katanya dalam ucapan pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Anwar berkata, peningkatan kerencaman ekonomi kepada penciptaan nilai dalam semua sektor turut diberi tumpuan dengan peralihan berteraskan pendigitalan dan teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) yang menekankan elemen authentic intelligence.
Beliau berkata, penekanan juga diberikan kepada pembangunan industri berimpak tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), sektor strategik bernilai tinggi, pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang serta pengukuhan kedudukan Malaysia di persada ekonomi dunia.
“Budaya mencipta menjadi agenda terpenting dalam melonjakkan penghasilan produk dan perkhidmatan tempatan yang berdaya saing,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan turut menekankan pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan menaikkan lantai dan darjat kehidupan rakyat.
Tambah beliau, ia melibatkan usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial berteraskan insan Madani, mempertingkat mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah kehidupan wajar.
“Justeru, kita tidak boleh terbelenggu dalam pendekatan yang kaku dan dogmatik. Dunia kini menuntut keberanian untuk mengubah struktur, menyesuaikan sistem dan gigih meneroka pelbagai pendekatan baharu dalam mendepani cabaran dan tantangan semasa.
“Apa yang menjadi keutamaan ternyata bukan rupa bentuk sesuatu dasar itu, tetapi ia mesti menjawab apakah hasilnya sampai dan mengesankan golongan yang benar-benar perlu,” katanya.
Tegas beliau, aspek keberkesanan dan keterbukaan dalam mencuba pendekatan baharu harus lebih utama daripada pemikiran yang terperangkap dalam kepompong ideologi dan status quo.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

