RMK13: Kerajaan percepat pembangunan industri REE

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempercepat pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memantapkan ekosistem serta mempergiatkan aktiviti sepanjang rantaian nilai industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan kapasiti tempatan dalam bidang teknologi perlombongan, penulenan dan pemisahan, melalui kerjasama strategik dengan pihak luar negara.
Menurutnya, sumber REE akan diutamakan untuk kegunaan domestik bagi membina industri peringkat pertengahan dan hiliran.
“Usaha ini disokong oleh pembangunan bakat, infrastruktur moden, insentif menyeluruh serta pemetaan sumber yang lebih tepat.
“Ekonomi hijau, iaitu model pembangunan ekonomi yang mengutamakan kelestarian alam sekitar, akan diperkukuh melalui pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa perdagangan karbon akan dimudah cara, antaranya melalui pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, Skim Perdagangan Pelepasan (ETS) serta penyediaan insentif untuk projek kredit karbon.
Selain itu, katanya, aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan turut dipergiat dengan menjadikannya sebahagian daripada taksonomi pelaburan dan pembiayaan hijau.
“Sebuah projek rintis pemerangkapan karbon dalam industri besi dan keluli akan dilaksanakan di Kemaman, Terengganu.
“Akses kepada pembiayaan hijau juga akan diperluas bagi menyokong usaha penyahkarbonan sektor utama negara,” jelas beliau.
RMK13: Penggunaan sisa pertanian dioptimum, loji 'waste-to-energy' diperluas
KUALA LUMPUR – Penggunaan sisa pertanian akan dioptimumkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi kitaran dan menghasilkan nilai tambah baharu secara mampan, selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh pembangunan hijau di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa pepejal, pembinaan loji waste-to-energy juga akan diperluas melalui kerjasama strategik dengan pihak swasta.
"Pada masa sama, kapasiti kemudahan depoh pengadunan biodiesel di Sandakan, Lahad Datu dan Bintulu akan dinaik taraf bagi menyokong penggunaan bahan api alternatif rendah karbon, seiring usaha negara ke arah pengurangan pelepasan gas rumah kaca," katanya dalam pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurutnya, dalam sektor air, kerajaan akan meneruskan Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) yang bertujuan mentransformasikan sektor tersebut kepada sektor ekonomi yang dinamik dan mampan.
"Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan dan inovasi teknologi air tempatan yang cekap serta lestari melalui kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI)," jelas beliau.
Di bawah AIR2040 juga, katanya, inisiatif mengurangkan penggunaan air mentah dan kadar air tidak berhasil (NRW) serta memperluas penggunaan air pulih guna secara mampan akan diteruskan.
"Langkah ini selari dengan matlamat memperkukuh daya tahan dan kelestarian syarikat penyedia perkhidmatan bekalan air dan rawatan kumbahan bagi memastikan perkhidmatan air negara kekal mampan untuk jangka panjang," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
