Kegiatan pelacuran waktu pejabat terbongkar

KUALA LUMPUR - Menawarkan perkhidmatan seks ketika waktu pejabat merupakan antara taktik licik sebuah premis pelacuran di ibu negara yang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam satu serbuan pada Selasa.
Premis yang beroperasi di tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat itu dipercayai menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing.

Difahamkan, pelanggan ditawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) dengan bayaran antara RM50 hingga RM300 bagi setiap sesi.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 3 petang hasil risikan dan aduan awam.

“Seramai 25 individu ditahan termasuk 14 wanita warga asing dan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 61 tahun.
“Mereka terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan India. Turut ditahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis,” katanya pada Selasa.
Menurutnya, siasatan mendapati antara kesalahan yang dikesan termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

