RMK13 perlu jadi pelan pemulihan menyeluruh, bukan sekadar dokumen dasar

DALAM era yang penuh ketidakpastian global dan cabaran domestik, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dilihat sebagai pelan pemulihan dan pengukuhan struktur negara.
Ia harus menjadi instrumen utama untuk membina semula kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan merancang masa depan secara holistik, inklusif dan mampan.
Pertama, RMK13 perlu menyatupadukan rakyat bukan sahaja melalui penyediaan peluang ekonomi yang adil tetapi juga melalui dasar-dasar yang mengiktiraf kepelbagaian latar belakang etnik, wilayah dan sosioekonomi.
Pembangunan yang seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta dasar penyertaan inklusif akan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus kemajuan nasional.
Kedua, pengurangan ketidaksamarataan sosial dan ekonomi perlu dilakukan secara menyeluruh melalui pelaksanaan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh, pendidikan kemahiran semula serta penyampaian bantuan secara bersasar.
Ketiga, RMK13 harus memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global, bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan pelaburan, tetapi juga dalam reputasi sebagai negara yang stabil, cekap tadbir urus dan progresif dalam dasar alam sekitar serta teknologi.
Namun begitu, kejayaan RMK13 tidak boleh bergantung kepada dasar yang dirancang sahaja. Ia hanya akan menjadi realiti jika dilaksanakan dengan tekad politik yang konsisten, tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab, serta kerjasama erat semua pihak.
Tanpa komitmen menyeluruh daripada semua pihak, RMK13 berisiko menjadi satu lagi pelan yang baik di atas kertas, tetapi gagal di lapangan.
Hasil dua tinjauan pendapat yang dijalankan secara dalam talian di aplikasi X dan Instagram Sinar Harian mengenai RMK13 menunjukkan rata-rata pengundi mahukan kerajaan memberi fokus secara menyeluruh.
Semua aspek perlu diberi perhatian, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Di aplikasi X, 52 peratus memilih pendekatan menyeluruh dengan peluang pekerjaan mendapat perhatian tertinggi (29 peratus) berbanding kos sara hidup (14 peratus).
Manakala di Instagram, 67 peratus pengundi memilih 'semua di atas' dengan kos sara hidup lebih menonjol (27 peratus ) berbanding peluang pekerjaan (6 peratus).
Dalam pada itu, tinjauan di platform X yang berlangsung selama 17 jam mendapati 33 peratus responden berpandangan RMK telah dilaksanakan dengan berjaya dan 27 peratus sangat berjaya.
Sebaliknya, tinjauan serupa di Instagram selama enam jam menunjukkan 39 peratus daripada 194 responden berpendapat RMK gagal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

