Kegiatan promosi judi online di sebalik nama syarikat sah terbongkar

KUALA LUMPUR - Kegiatan mempromosi aktiviti perjudian online yang dipercayai berselindung di sebalik nama syarikat sah dibongkar polis di Bukit Jalil di sini pada Isnin.
Serbuan Op Dadu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Bukit Aman.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, serbuan kira-kira jam 6.40 petang itu berjaya menahan enam wanita tempatan disyaki mengurus, menganjur dan mempromosikan perjudian dalam talian.
Menurutnya, pelbagai barang dirampas antaranya komputer riba, telefon bimbit dan modem.
"Siasatan awal mendapati seorang daripada tangkapan dipercayai berperanan sebagai pengurus dan pemilik premis, manakala lima lagi merupakan pekerja.
"Kegiatan pusat panggilan (calling centre) ini disyaki mula beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menjadikan sasaran pelanggan warga tempatan dan Singapura," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, pekerja terbabit dipercayai dibayar gaji sebanyak RM3,000 seorang.
Tambahnya, polis telah mengenal pasti dua akaun bank tempatan yang disyaki digunakan sebagai transaksi pemindahan wang.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
