[VIDEO] Berselindung di sebalik premis industri, sindiket sorok LPG tumpas
JOHOR BAHRU – Taktik licik sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) yang berselindung di sebalik premis industri akhirnya terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah stor haram dalam operasi khas pada Isnin.

Premis yang terletak di kawasan perindustrian itu disyaki dijadikan lokasi aktiviti pemindahan gas LPG bersubsidi daripada tong 14 kilogram ke dalam lori tangki untuk tujuan pasaran gelap.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, operasi Op Gasak yang dijalankan bersama KPDN Putrajaya itu menemui sebanyak 1,357 tong gas LPG dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM280,000 termasuk peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan.
“Premis ini kelihatan seperti bengkel biasa di kawasan industri, namun hasil risikan mendapati ia digunakan sebagai tempat pemindahan gas subsidi secara haram untuk dijual di pasaran dengan harga lebih tinggi.
"Turut ditahan lima lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang merupakan pekerja di premis berkenaan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Ulu Tiram pada Selasa.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan modus operandi menyimpan tong gas subsidi di premis sebelum dipindahkan ke lori tangki secara berperingkat.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda hingga RM2 juta.
"Untuk kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta bagi individu dan RM5 juta bagi syarikat," katanya.
Tambah beliau, pihak KPDN tidak menolak kemungkinan kegiatan ini telah lama beroperasi dan sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran sindiket.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada KPDN Johor bagi membantu tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

