Lima lelaki warga Indonesia mengaku salah miliki LPG tanpa lesen

JOHOR BAHRU – Lima lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Jumaat atas pertuduhan memiliki hampir 10 tan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen sah di sebuah premis di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Ali, 32; Zulfan Fauzi, 31; Nazrullah, 34; Marhaban, 31; dan Adnan, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memiliki 9,565.8 kilogram LPG yang merupakan barang kawalan dan berjadual di Lot 184936, Jalan Sungai Tiram, kira-kira jam 7.05 malam pada 28 Julai 2025.
Tindakan mereka itu menimbulkan syak bahawa mereka menjalankan aktiviti mengilang gas petroleum cecair tanpa lesen sah, sekali gus melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Seksyen 22(1) akta yang sama, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Siti Noraida Sulaiman kemudiannya menetapkan 3 September 2025 sebagai tarikh untuk pembacaan fakta kes dan hukuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
