Sabah Electricity laksana catuan elektrik, 600,000 pengguna dijangka terjejas

KOTA KINABALU - Sekurang-kurangnya 600,000 pengguna domestik di Sabah dan Labuan bakal terkesan dengan pelaksanaan catuan elektrik berskala besar oleh Sabah Electricity susulan kerja-kerja penyelenggaraan berkala oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), Kimanis, Papar.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, catuan itu akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula Jumaat ini hingga 7 Ogos secara bergilir di seluruh negeri dan Labuan.
"Lanjutan daripada aktiviti penyelenggaraan yang akan dilakukan oleh Petronas melibatkan platform-platform luar pesisir (offshore) dan juga daratan (onshore) dari 1 Ogos sehingga 7 Ogos ini, penyaluran gas kepada dua loji Penjana Tenaga Bebas (IPP) di Kimanis akan terputus iaitu IPP Loji Janakuasa Kimanis Power sebanyak 255 megawatt (MW) dan Loji Janakuasa SPRE sebanyak 100MW.
"Pada awalnya, kita menjangka tiada gangguan bekalan elektrik kerana perbincangan dengan Petronas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah dibuat sejak awal tahun.
"Perancangan kita pada awalnya dijangka mampu melalui tempoh ini dengan menggunakan diesel, namun berdasarkan maklumat diterima semalam, loji tidak dapat beroperasi menggunakan bahan api alternatif tersebut dan ini menyebabkan kehilangan kapasiti penjanaan sebanyak 195MW dari sistem grid Sabah untuk tempoh tujuh hari," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Sabah Electricity di sini, pada Rabu.
Mohd Yaakob berkata, susulan daripada itu dan bagi mengelakkan berlakunya catuan bekalan, Sabah Electricity berharap Petronas dapat menangguhkan aktiviti penyelenggaraan di SOGT sehingga kapasiti penjanaan kembali stabil.
"Langkah ini perlu diambil dan amat penting dalam mengekalkan kestabilan serta integriti sistem tenaga elektrik Sabah. Jika dapat ditangguhkan, kerja penyelenggaraan ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat Sabah.
"Ini kerana catuan tersebut akan memberi kesan kepada kira-kira 600,000 pengguna di seluruh Sabah dan Labuan bagi tempoh tersebut, khususnya pada waktu puncak sekitar jam 10 pagi hingga 10 malam, dan catuan ini akan berlaku selama satu hingga dua jam secara bergilir," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Sabah Electricity akan bekerjasama rapat dengan semua pihak, khususnya loji IPP, ECoS dan pihak berkepentingan lain untuk sentiasa memantau situasi dan melaksanakan tindakan yang perlu bagi meminimumkan sebarang gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan masa catuan bekalan melalui Facebook Sabah Electricity dan aplikasi Sabah Electricity," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
