PRN Sabah: GRS akan bincang kerjasama dengan PH

Hajiji beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Gagasan Rakyat Bahagian Sibuga 2025 di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan.
Hajiji beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Gagasan Rakyat Bahagian Sibuga 2025 di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan ditentukan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, sebagai peneraju kerajaan negeri ketika ini, GRS-PH Plus berhak menentukan siapa rakan politik mereka dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

"Perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025, di Dewan Serbaguna Sri Libaran, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kerjasama antara UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pakatan Harapan (PH) negeri, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, walaupun GRS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negeri, keputusan akhir tetap di tangan kerajaan GRS-PH Plus yang sedang mentadbir Sabah.

"Dalam politik, kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah.

"Jadi walaubagaimanapun, pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu perbincangan rasmi antara GRS dan PH akan diadakan dalam masa terdekat, namun belum menetapkan sebarang tarikh.

Artikel Berkaitan:

"Kita dalam kerajaan sekarang, Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan dengan PH," katanya.

Sebelum itu, pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lalu, Hajiji turut membayangkan bahawa GRS kekal memilih PH sebagai rakan utama kerjasama politik, walaupun berlaku perkembangan baharu membabitkan BN Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!