Dakwa ‘dijual’ teman lelaki ke premis pelacuran

KUALA LUMPUR - Seramai 14 gadis warga asing yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks di sebuah premis pelacuran di Jalan Petaling di sini diselamatkan pada Rabu.
Serbuan Op TIP bermula kira-kira jam 1.15 petang itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.
Difahamkan, ada dalam kalangan mangsa mendakwa 'dijual' ke sarang pelacuran oleh kekasih mereka selepas berpisah bagi tujuan eksploitasi seks.
Semasa serbuan, beberapa pelanggan di premis terbabit cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota imigresen.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, mangsa yang diselamatkan berusia dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun, terdiri daripada 10 warga Bangladesh, tiga warga India dan seorang warga Indonesia.
Menurutnya, JIM telah menahan tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Siasatan mendapati premis itu beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 11 malam dan pelanggan datang secara 'walk in'.
"Semasa serbuan terdapat 16 pelanggan lelaki membabitkan warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, dipercayai setiap pelanggan dikenakan caj sebanyak RM60 untuk mendapatkan khidmat wanita terbabit.
Tegasnya, operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan wanita terbabit berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
"JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
