Pasport terbang: Polis Kelantan sedia bantu AKPS

KOTA BHARU – Polis Kelantan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkaitan isu kegiatan 'pasport terbang'.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, walaupun siasatan isu tersebut berada di bawah bidang kuasa agensi tertentu, namun pihaknya tetap komited untuk membantu sekiranya diperlukan.
“Isu pasport terbang adalah di bawah bidang kuasa AKPS. Tetapi sekiranya memerlukan bantuan daripada pihak kami, polis sedia membantu pada bila-bila masa, tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah: Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi, di sini pada Selasa.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal di sempadan Johor–Singapura.
Suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik, dikenali sebagai kegiatan 'pasport terbang'.
Terkini, seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen Johor yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut ditahan pada Isnin dan direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa kerana dipercayai terlibat dengan empat suspek yang ditahan sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, walaupun kegiatan itu kini tertumpu di sempadan selatan tanah air, isu penyalahgunaan laluan keluar masuk antarabangsa tetap dipandang serius di Kelantan memandangkan negeri ini bersempadan dengan Thailand.
Kelantan mempunyai tiga pintu sempadan utama iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di Pasir Mas, Bukit Bunga di Tanah Merah dan Pengkalan Kubor di Tumpat, yang menjadi laluan aktif rentas negara serta turut diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

