KDN tunggu laporan penuh isu ‘pasport terbang’ – Saifuddin

KULIM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan membabitkan penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku 'pasport terbang'.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menyediakan laporan penuh berkenaan.
"Saya akan minta laporan penuh nanti daripada KP AKPS, Datuk Shuhaili. Sekarang ini baru hari ke-25 (beliau memimpin jabatan itu), biar dia uruskan dulu.
"Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dataran Kulim di sini pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, empat pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal sempadan Johor-Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Difahamkan, mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik, dikenali sebagai kegiatan 'pasport terbang'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

