Pendidikan wajib 11 Tahun bukan hukum ibu bapa - Timbalan Menteri

Kah Woh
Kah Woh
A
A
A

PUTRAJAYA – Pindaan Akta Pendidikan 2025 yang memperluas tempoh pendidikan wajib daripada enam ke 11 tahun bukan bertujuan menghukum ibu bapa, sebaliknya untuk memastikan semua anak mendapat pendidikan menyeluruh hingga ke Tingkatan Lima.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah reformasi itu merupakan lanjutan kepada pelaksanaan pendidikan wajib sekolah rendah yang mula dikuatkuasakan sejak tahun 2003.

“Kita tidak mahu ada anak-anak yang tercicir selepas tamat sekolah rendah. Pendidikan wajib 11 tahun bukan satu bentuk hukuman, tetapi usaha mendidik dan memastikan masa depan anak-anak kita lebih terjamin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Menurutnya, selepas lebih dua dekad pelaksanaan pendidikan wajib enam tahun, kadar enrolmen ke sekolah rendah telah meningkat daripada 92.9 peratus pada 2003 kepada 99.39 peratus pada 2025.

Namun begitu, kadar enrolmen sekolah menengah masih rendah berbanding paras sejagat iaitu 95 peratus, justeru pindaan tersebut akan melengkapkan jurang yang masih wujud dalam sistem pendidikan negara.

“Langkah ini penting untuk melengkapkan ‘puzzle’ terakhir bagi memastikan akses pendidikan menengah dapat dikecapi semua anak Malaysia, tanpa mengira bangsa, latar belakang atau lokasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersedia sepenuhnya dari segi keperluan dasar dan sokongan, termasuk penyediaan pendidikan percuma hingga Tingkatan Lima serta bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Antaranya, peruntukan RM791 juta telah disediakan untuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini selain pengembangan bantuan itu kepada pelajar Tingkatan Enam dengan peruntukan tambahan RM15 juta.

Bagi keluarga miskin dan miskin tegar, kerajaan turut menyediakan peruntukan besar termasuk RM869 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, RM165 juta bagi Biasiswa Kecil Persekutuan dan RM199 juta untuk Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini bukan bersifat kosmetik. Ia adalah pendekatan menyeluruh untuk memastikan pendidikan benar-benar menjadi hak rakyat, bukan beban,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan infrastruktur turut dipertingkat apabila kerajaan meluluskan pembinaan 44 sekolah baharu tahun ini, berbanding hanya sembilan pada 2022.

KPM juga memperluas model Sekolah K9 dan Sekolah K11, khusus untuk anak-anak di pedalaman yang membolehkan mereka belajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di bawah satu bumbung.

“Daripada bandar ke luar bandar, dari ibu kota ke pedalaman, tiada siapa yang akan terpinggir. Ini adalah komitmen Kerajaan Madani untuk pendidikan inklusif,” katanya.

Pindaan Akta Pendidikan 2025 telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat dan bacaan kedua dijadualkan pada Rabu oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!