Eksesais Taming Sari uji keupayaan aset dan kompetensi TLDM

Mohamed Khalid dalam sidang akhbar berhubung pelaksanaan Eksesais Taming Siri siri 23/25 di KKIA2 di Kota Kinabalu pada Selasa.
Mohamed Khalid dalam sidang akhbar berhubung pelaksanaan Eksesais Taming Siri siri 23/25 di KKIA2 di Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelaksanaan Eksesais Taming Sari siri 23/25 oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan sahaja menguji keberkesanan sistem persenjataan dan aset pertahanan, malah turut menilai tahap kompetensi anggota dalam mengendalikan operasi ketenteraan sebenar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, eksesais yang dilaksanakan di perairan Laut China Selatan itu merupakan antara platform penting bagi memastikan kesiagaan aset TLDM dan tahap kemahiran anggotanya berada dalam keadaan optimum setiap masa.

Katanya, eksesais tersebut melibatkan penembakan Misil Exocet MM40 oleh KD Lekiu dan KD Lekir, serta Misil Exocet SM39 melalui pelaksanaan Coordinated Missile Firing dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman. Turut dilaksanakan adalah penembakan torpedo Black Shark dalam konfigurasi peperangan oleh KD Tun Razak.

"Eksesais ini melibatkan empat kapal penembak iaitu KD Lekiu, KD Lekir, KD Tunku Abdul Rahman iaitu submarine pertama dan juga KD Tun Razak submarine kedua.

"Bagi Exocet, ia melakukan eksesais tembakan pada jarak lebih daripada 30 kilometer, manakala bagi torpedo ia dalam jarak kurang daripada 10 kilometer," katanya dalam sidang akhbar di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA2), di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, latihan tembakan seperti ini penting untuk memastikan bukan sahaja kesediaan fizikal aset, tetapi juga tahap keupayaan anggota TLDM dalam mengendalikannya.

"Tujuan eksesais ini bagi TLDM merupakan satu keperluan untuk meningkatkan kesiagaan, keupayaan dan kompetensi angkatan tentera kita.

"Salah satu perkara yang harus kita faham adalah soal kesiagaan. Doktrin pertahanan kita bukan untuk serang negara lain, tetapi keupayaan kita untuk mempertahan negara dan mempertahan bukan sahaja dengan kita memiliki aset tetapi keupayaan anggota-anggota kita untuk melaksanakan tanggungjawab," tegasnya.

Mohamed Khaled turut menekankan bahawa latihan seperti ini amat penting untuk menilai keadaan semasa aset TLDM, termasuk yang lama serta yang dalam proses pemodenan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, untuk menentukan status semasa aset-aset TLDM. Kita tahu aset-aset tentera kita termasuklah TLDM ada yang baharu, ada yang berumur, ada yang sedang dibina dan sebagainya.

"Jadi pada setiap masa perlu dinilai, diuji aset-aset ini kerana ia bukan saja digunakan untuk menjaga keselamatan negara tetapi ada ketikanya aset-aset ini juga diperlukan untuk menjayakan eksesais-eksesais dengan negara-negara yang lain bila ada eksesais peringkat ASEAN dan sebagainya. Kalau kita tidak mempunyai aset yang bersedia tentunya ia akan memberi halangan untuk kita menyertainya," katanya.

Tambahnya, eksesais turut membabitkan kapal sokongan seperti KD Seri Indera Sakti, KD Kelantan, KD Selangor dan beberapa lagi kapal bagi menyokong aspek keselamatan dan koordinasi kawasan operasi. Keseluruhannya, sebanyak 17 kapal, dua pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga helikopter terlibat dalam eksesais berkenaan.

Menjawab pertanyaan berhubung keberkesanan aset lama, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa semua aset yang digunakan setakat ini masih berfungsi dengan baik. Namun begitu, pihak kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan pemodenan secara berterusan.

"Setakat tadi semuanya berjalan dengan baik tetapi bukan maknanya kita tidak mempunyai perancangan.

"Kita sedar akan aset-aset kita yang telah berusia tetapi TLDM sedang melaksanakan pelan transformasi '15 to 5' iaitu pengurangan jenis kapal daripada 15 kepada lima jenis utama yang akan menjadi tunjang kekuatan armada masa hadapan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa latihan seperti ini akan terus dilaksanakan secara berkala bagi memastikan bukan sahaja kesiapan aset, tetapi juga kemahiran dan profesionalisme anggota berada pada tahap tertinggi.

"Eksesais ini mesti dilakukan selalu untuk tentukan kompetensi keupayaan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!