Pakistan uji sistem senjata misil sebagai amaran kepada India

ISLAMABAD - Tentera Pakistan melancarkan latihan pelancaran sistem senjata peluru berpandu di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat bersama India susulan insiden serangan ganas di wilayah Kashmir pada bulan lalu.
"Ia bertujuan untuk memastikan kesediaan operasi pasukan kami dan mengesahkan parameter teknikal utama termasuk sistem navigasi canggih misil dan ciri kebolehupayaan yang dipertingkatkan," ujar tentera dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Difahamkan, ujian itu melibatkan Sistem Senjata Abdali yang mempunyai jarak jangkauan sehingga 450 kilometer.
Islamabad menunjukkan keupayaan senjata mereka selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi 'kebebasan penuh' kepada tentera mereka untuk melancarkan operasi tindak balas ke atas tragedi Pahalgam yang meragut 26 nyawa kebanyakannya pelancong Hindu.
New Delhi berulang kali menuding jari menyalahkan Pakistan atas kejadian itu meskipun ia menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas tersebut malah menggesa siasatan bebas dilancarkan.
Pada awal minggu lalu, Islamabad memberi amaran berdasarkan maklumat risikan tentang serangan berpotensi yang mungkin akan dilancarkan negara jiran mereka.
Pakistan bagaimanapun menegaskan mereka akan bertindak balas terhadap sebarang tindakan provokasi India.
Susulan krisis yang semakin memuncak antara kedua-dua negara kuasa nuklear tersebut, negara antarabangsa telah menggesa pihak bertelagah berkenaan supaya menghentikan sebarang tindakan yang membawa akibat dahsyat malah Kesatuan Eropah (EU) menyifatkan situasi di Asia Selatan itu amat membimbangkan.
Penganalisis berpendapat pelancaran misil itu sebagai tembakan amaran kepada musuh.
"Ia jelas mahu membuktikan Islamabad mempunyai sumber untuk menentang India. Ia bukan hanya mesej buat New Delhi, tetapi kepada seluruh dunia bahawa Pakistan sudah siap siaga," ujar penganalisis tentera Pakistan, Hasan Askari Rizvi.
Sejak serangan berdarah pada 22 April lalu, Islamabad dan New Delhi saling bertindak balas termasuk menutup lintasan sempadan serta melaksanakan langkah sekatan.
Selain itu, pasukan tentera kedua-dua negara juga terus berbalas tembakan selama sembilan hari berturut-turut di kawasan sempadan de facto, Garis Kawalan (LoC). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

