RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 kukuh keyakinan pelabur

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 digubal untuk menstruktur semula kerangka undang-undang negara supaya lebih kondusif kepada pelaburan berkualiti dan mesra pasaran antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU ini akan menyediakan satu kerangka perundangan jelas, moden dan berkesan bagi pelaksanaan prosiding insolvensi rentas sempadan di Malaysia selaras dengan standard amalan terbaik antarabangsa.

"Usaha ini akan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sistem perundangan negara dan menyumbang secara langsung kepada pemantapan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, ketiadaan kerangka kerja perundangan yang kukuh sebelum ini menyebabkan kelengahan dalam pelaksanaan mekanisme penyelamat korporat atau prosiding penggulungan syarikat.

Menurutnya, aset syarikat yang terbabit turut berisiko untuk disembunyikan atau dipindah milik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Perkara ini akan menjejaskan pengumpulan dan penghasilan aset yang optimum bagi manfaat pemiutang-pemiutang, penghutang dan pihak yang berkepentingan.

"Kesannya, keyakinan pelabur asing akan terjejas dan sekali gus menjadi halangan kepada usaha pengukuhan perdagangan Malaysia di persada antarabangsa," ujarnya.

Azalina berkata, RUU ini juga digubal sebagai satu akta tersendiri dan menteri bertanggungjawab ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), sementara agensi terbabit dengan pengawalseliaan adalah Jabatan Insolvensi Malaysia.

"Secara prinsipnya, RUU ini adalah bersifat tatacara dan akan melengkapi undang-undang insolvensi korporat di Malaysia tanpa mengubah struktur atau prinsip asas undang-undang insolvensi korporat sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian besar peruntukan RUU ini adalah berasaskan peruntukan dalam Undang-Undang Model dalam perkara mengenai insolvensi rentas sempadan iaitu Undang-Undang Seragam Mengenai Insolvensi Rentas Sempadan (MLCBI) dengan pengubahsuaian yang sewajarnya mengambil kira kepentingan awam dan kepentingan negara," jelasnya.

Setakat ini, 60 negara sudah mengguna pakai MLCBI yang digubal pada 1997 oleh Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) termasuk Australia, United Kingdom, Arab Saudi dan New Zealand, sementara Malaysia negara keempat di ASEAN yang akan memiliki perundangan sama selepas Singapura, Myanmar dan Filipina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!