World #QuranHour 2025 kukuh perpaduan, solidariti ummah - Duta Turkiye

GOMBAK – Program World #QuranHour 2025 dilihat sebagai platform terbaik untuk mengangkat surah-surah al-Quran, khususnya Surah Al-Saff, dalam memperkukuhkan kesatuan serta solidariti umat Islam di seluruh dunia.
Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata, program tersebut memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami maksud serta tafsiran setiap surah yang dibaca.
“Saya cuba hadir ke program World #QuranHour setiap tahun kerana ia memberi fokus kepada surah-surah al-Quran dan maknanya.
“Sebagai umat Islam, kita perlu mempunyai ilmu tentang surah-surah dalam al-Quran kerana ia adalah asas kehidupan kita,” katanya selepas menghadiri program berkenaan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Selasa.
Mengulas mengenai tema #SavingTheUmmah bagi penganjuran tahun 2025, beliau berkata, mesej dalam al-Quran amat penting dalam kehidupan masyarakat moden.
“Al-Quran menawarkan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan kita sejak lebih seribu tahun lalu dan kekal relevan sehingga kini.
“Umat Islam perlu belajar dan memahami bagaimana al-Quran memberikan solusi serta penerangan terhadap setiap isu yang dihadapi,” ujarnya.
Menurutnya, Surah Al-Saff yang dibacakan dalam program itu turut membawa mesej penting berkaitan perpaduan dan solidariti dalam kalangan umat Islam.
“Surah ini mengajar kita tentang kepentingan berada dalam satu barisan serta saling menyokong antara satu sama lain.
“Saya percaya, surah ini boleh dijadikan asas dalam memperkukuhkan solidariti sesama umat Islam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!