Sindiket sorok dadah dalam bungkusan coklat tumpas

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya membongkar taktik licik sindiket pengedaran dadah yang menggunakan bungkusan coklat dan perkhidmatan kurier bagi menghantar bahan terlarang itu ke pasaran tempatan.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan pada 15 Julai lalu kira-kira jam 4 petang di sebuah premis perkhidmatan kurier di Pengkalan Chepa.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 14 bungkusan kotak pelbagai saiz dalam plastik berdaftar milik sebuah syarikat kurier yang disyaki mengandungi pelbagai jenis dadah.
“Semua dadah tersebut dibungkus menggunakan plastik berjenama coklat terkenal bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JKDM Kelantan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM201,781.50 yang terdiri daripada ketulan mampat ganja seberat 26.05 kilogram (kg), bunga ganja (1.10 kg), pil kuda (10 biji), ketamin (0.11 kg), dan MDMA HCl (0.004 kg).
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

