Naikkan cukai, tetapkan harga minimum vape – Wan Saiful

KKM sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di negara ini.
KKM sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa menaikkan segera cukai ke atas cecair rokok elektronik (vape) bernikotin, sekali gus memperkenalkan harga minimum produk berkenaan sepertimana yang telah dilaksanakan ke atas rokok tanpa menunggu pengharamannya dimuktamadkan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, saranan itu adalah langkah realistik dan paling berkesan untuk melindungi kesihatan awam terutamanya generasi muda.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menegaskan, beliau faham bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape namun beliau tidak bersetuju jika sekarang ini kerajaan hanya berdiam diri serta menunggu sehingga proses itu dimuktamadkan.

Kenyataan Wan Saiful mengenai isu vape di Facebook pada Selasa.
Kenyataan Wan Saiful mengenai isu vape di Facebook pada Selasa.

“Saya mendengar dengan teliti jawapan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 semalam. Ramai ahli Dewan Rakyat turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda.

“Sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas. Tidak perlu tunggu pengharaman sebaliknya saksamakan cukai dan memperkenalkan harga minimum adalah langkah yang boleh diambil serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Dr Dzulkefly dilapor berkata, KKM sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di negara ini namun langkah tersebut memerlukan penelitian menyeluruh melibatkan aspek perundangan, industri, hasil kerajaan serta pelesenan

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, dalam mempertimbang pengharaman vape, kerajaan perlu mengambil kira bahawa larangan total sering membawa kepada kewujudan pasaran gelap yang sukar dikawal jika tiada penguatkuasaan yang benar-benar berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan produk vape masih dijual secara meluas, saya menggesa kerajaan untuk segera menaikkan cukai ke atas cecair vape bernikotin agar selari dengan kadar cukai rokok. Langkah ini penting bagi memperkukuh usaha pencegahan dan pengawalan.

“Ketika ini, cecair nikotin hanya dikenakan cukai sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter, sedangkan rokok dikenakan cukai sebanyak RM8 bagi setiap kotak. Berdasarkan perkiraan mudah, penggunaan dua mililiter cecair vape bernikotin mengandungi hampir sama jumlah nikotin dengan sekotak rokok. Namun cukai yang dikenakan ke atas vape hanyalah sekitar 10 peratus daripada cukai rokok, satu jurang yang ketara,” jelas beliau.

Menurutnya, perbezaan harga yang begitu besar menyebabkan ramai pengguna memilih vape kerana lebih murah dan lebih mampu milik.

Justeru, Wan Saiful berpendirian, jika kerajaan benar-benar serius mahu membendung penggunaan vape, menaikkan cukai adalah langkah segera yang mudah dilaksanakan dengan syarat adanya kemahuan politik.

“Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik. Jika hasrat untuk mengawal penggunaan vape itu benar, maka tindakan paling wajar dan pantas ialah mengumumkan segera kenaikan cukai ke atas cecair vape nikotin. Ini adalah ‘low-hanging fruit’ yang sangat jelas.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memperkenalkan harga minimum bagi produk vape sepertimana yang telah dilaksanakan ke atas rokok. Harga minimum ini wajar ditetapkan sekurang-kurangnya pada paras RM12 dan keseluruhan struktur harga perlu dipautkan kepada kadar kenaikan duti eksais dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Kata beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan kesaksamaan cukai atau ‘tax parity’ dan tahap kemampuan harga (‘affordability’) yang sesuai dengan niat untuk mengurangkan atau mencegah penggunaannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!