Wan Saiful tamatkan zaman duda

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menamatkan zaman dudanya selepas selamat diijabkabulkan dengan Maslina Sobri pada Sabtu.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu meluahkan rasa syukur atas kelancaran majlis pernikahan serta menghargai kehadiran tetamu ke majlis kesyukuran ringkas yang diadakan.
“Alhamdulillah hari ini disempurnakan majlis perkahwinan saya dengan Maslina Sobri. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi melapangkan masa hadir ke jamuan kesyukuran ringkas yang diadakan pada petang ini,” katanya.

Wan Saiful turut merakamkan penghargaan khusus kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta rakan-rakan lain yang hadir memeriahkan majlis.
Dalam hantarannya, beliau turut memohon maaf kepada rakan-rakan yang tidak dijemput atas kekangan majlis yang diadakan secara kecil-kecilan.
“Saya hanya adakan jamuan kecil sebagai tanda kesyukuran sahaja. Doakan semoga kami sentiasa dalam keberkatan dan petunjuk-Nya,” katanya.
Untuk rekod, isteri Wan Saiful sebelum ini, Allahyarham Datin Alena Omar, meninggal dunia pada Julai 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!