Tiket tambahan ETS3 mula dijual pada Rabu

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,600 tiket tambahan Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi sektor KL Sentral ke JB Sentral akan dijual pada Rabu bermula 12.15 tengah malam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tambahan tersebut melibatkan perjalanan bagi tempoh 13 Februari hingga 22 Februari menggunakan set ETS3 ketujuh yang baharu diluluskan.
"Selaras dengan hala tuju yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan untuk mencari pendekatan inovatif supaya penggunaan aset kereta api KTMB dapat dimaksimumkan, KTMB buat pertama kalinya akan memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus (Electric Multiple Unit Plus) untuk Tahun Baru Cina.
" KTMB juga telah memobilisasikan Six Car Set (SCS) untuk laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral yang membolehkan tambahan 24 trip lagi semasa musim perayaan itu.
"Perkhidmatan EMU Plus akan beroperasi dari 13 Februari hingga 15 Februari dan 20 Februari hingga 22 Februari 2026," katanya ketika sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu Anthony melaklumkan, KTMB telah merekodkan jualan tiket ETS sebanyak 118,823 atau 53 peratus daripada 224,196 tempat duduk yang ditawarkan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, ia melibatkan perjalanan semua sektor bagi tempoh 13 Mac 2026 sehingga 29 Mac 2026.
"Penjualan tiket tren tambahan Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan setelah tiket sedia ada yang ditawarkan habis terjual," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

