Kapal induk Maritim Malaysia dijangka tiba awal

Mohd Rosli (tengah) beramah mesra dengan pasukan kadet Maritim (Paskam) selepas majlis peluncuran Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia di SMK Sungai Baging di Kuantan pada Selasa. Foto Sinar Harian
Mohd Rosli (tengah) beramah mesra dengan pasukan kadet Maritim (Paskam) selepas majlis peluncuran Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia di SMK Sungai Baging di Kuantan pada Selasa. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Pembinaan kapal induk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Turkiye menunjukkan prestasi yang memberangsangkan

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kemajuan pembinaan  kapal Mullti Purpose Mission Ship (MPMS) dicapai melebihi jangkaan asal.

"Cuma yang saya boleh kongsikan, projek itu berjalan dalam tempoh 24 bulan dan setakat hari ini kemajuannya melebihi daripada yang dirancang

"Kemajuan kerja keseluruhan adalah sebanyak 17 peratus bermula 21 Mac hingga Jun lalu iaitu dalam tempoh lebih kurang 102 hari berbanding perancangan kemajuan kemajuan kerja iaitu 15 peratus.

"Semua  plat besi dan profil untuk projek ini telah ditempah oleh  Desan Shipyard, penghantaran ke limbungan adalah  mengikut seperti jadual pelan projek. Kesemua bahan ini telah diperakui oleh Turkish Lloyd," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis peluncuran Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging di sini pada Selasa.

Mohd Rosli menambah, aset terbabit akan dipamerkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 sekiranya tiada sebarang kelewatan.

“Kalau lihat pada perkembangan semasa, kita jangkakan ia boleh siap lebih awal dan terus dibawa pulang sebelum LIMA,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kapal induk berkenaan akan menjadi aset penting Maritim Malaysia, terutama dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan perairan Laut China Selatan.

Artikel Berkaitan:

“Kapal ini memang kita fokuskan untuk beroperasi di Laut China Selatan,” katanya.

Menjawab pertanyaan berhubung insiden pencurian tinggalan kapal perang karam oleh pihak asing, Mohd Rosli berkata, tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, ia susulan daripada pemantauan ketat dan rondaan secara berkala.

“Jadi, pihak luar negara juga menunjukkan minat terhadap pendekatan dan peranan yang kita jalankan untuk memastikan tidak berlaku kecurian ke atas bangkai kapal lama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!