Helang Samudera dedah rahsia wira Maritim Malaysia

Sultan Nazrin melihat replika aset Maritim Malaysia ketika mencemar duli melancarkan buku 'Helang Samudera: Perisai Maritim Negara' sempena sambutan 20 tahun penubuhan agensi itu pada Selasa.
Sultan Nazrin melihat replika aset Maritim Malaysia ketika mencemar duli melancarkan buku 'Helang Samudera: Perisai Maritim Negara' sempena sambutan 20 tahun penubuhan agensi itu pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus mengukir sejarah tersendiri apabila melancarkan buku istimewa bertajuk 'Helang Samudera: Perisai Maritim Negara' sempena sambutan 20 tahun penubuhan agensi itu pada Selasa.

Majlis pelancaran menjadi lebih bermakna apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sudi mencemar duli bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Kehadiran baginda adalah sebagai simbol sokongan dan keprihatinan tinggi terhadap peranan strategik Maritim Malaysia dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, penerbitan naskhah itu sebagai satu penghormatan besar buat wira-wira maritim negara.

Kata beliau, ia merupakan pengorbanan selama dua dekad mempertaruhkan keselamatan diri demi keselamatan perairan negara.

"Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah tetapi khazanah bernilai tinggi yang memaparkan keberanian, kecekalan dan dedikasi anggota Maritim Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi," katanya pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Buku berbentuk 'coffee table' dengan 180 halaman muka surat itu diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama YPBN.

Artikel Berkaitan:

Ia menampilkan naratif visual berkualiti tinggi, cerita-cerita operasi sebenar serta adegan dramatik yang selama ini tidak pernah dikongsikan kepada khalayak umum.

Malah ia juga memaparkan sejarah penubuhan Maritim Malaysia, kejayaan operasi menyelamat, rampasan kapal penyeludup, pelaksanaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penggunaan teknologi pengawasan canggih serta latihan berterusan yang membentuk kecekapan pasukan.

Penerbitan buku itu turut menyerlahkan kerjasama strategik Maritim Malaysia bersama agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Polis Antarabangsa (Interpol), Australia Border Force (ABF) dan penguat kuasa maritim serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!