Sindiket pengurup wang haram warga asing tumpas, RM1.2 juta disita

Pasukan operasi telah menyita wang tunai berjumlah RM1,215,000 yang disyaki hasil daripada aktiviti pengurup wang tidak berlesen.
Pasukan operasi telah menyita wang tunai berjumlah RM1,215,000 yang disyaki hasil daripada aktiviti pengurup wang tidak berlesen.
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar aktiviti pengurup wang tidak berlesen di sebuah kondominium mewah di sini yang menyasarkan warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang yang ingin menghantar wang ke negara asal mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya telah menjalankan Operasi Khas di empat lokasi pada jam 7.08 malam, Ahad.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah pergi ke lokasi dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai dalang utama.

“Kita turut menahan lima lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai pelanggan. Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Warga Bangladesh dipercayai dalang utama sindiket pengurup wang tidak berlesen.
Warga Bangladesh dipercayai dalang utama sindiket pengurup wang tidak berlesen.

Zakaria berkata, semakan awal mendapati seorang daripada mereka memiliki Pas Penggajian, manakala lima lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah menyita wang tunai berjumlah RM1,215,000 yang disyaki hasil daripada aktiviti pengurup wang tidak berlesen, buku catatan urus niaga dan dua unit telefon bimbit.

“Kita turut menyita sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang digunakan oleh sindiket itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aktiviti tersebut dipercayai telah beroperasi selama setahun.

“Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala lima lelaki lain disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

“Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!