Pengunjung mahu festival turath diteruskan

SHAH ALAM - Rata-rata pengunjung Festival Turath Islami Selangor yang menampilkan ramai tokoh agama terkenal dunia baru-baru ini berharap program sedemikian diteruskan pada masa depan.
Kali kedua menyertai program itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist ACS Klang, Fakhrullah Lokman, 15, sanggup bermalam di masjid negeri demi mengikuti pengajian agama.
Sanggup mengorbankan cuti hujung minggu, beliau memohon cuti khas daripada pentadbiran sekolah untuk mengikuti pelbagai acara di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
“Saya minat bertalaqi dengan para syeikh yang datang dari jauh. Mereka menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Saya minat dengan ilmu agama sejak kecil dan dapat dorongan ibu ayah.
“Semoga program ini diteruskan pada tahun-tahun berikut dan ditambah baik. Selama seminggu, saya berada di masjid untuk ikuti pengajian,” katanya kepada media.
Beberapa tenaga pengajar Madrasah Darussalam, Narathiwat di Thailand pula memuji penganjuran festival berkenaan yang menghimpunkan 18 tokoh agama dan ulama terkemuka dari seluruh nusantara.
Muhammad Al Abror Adam, 26, memberitahu beliau bersama rombongan 40 orang dari selatan Negara Gajah Putih itu berasa bertuah kerana berpeluang hadir majlis agama buat kali pertama.
“Tiada program seperti ini di Thailand dan di Selangor jemput ulama-ulama hebat. Saya berasa gembira. Kami datang menempuh perjalanan tujuh hingga lapan jam bersama pelajar,” katanya.
Festival kali ketiga anjuran Kerajaan Selangor yang menampilkan 18 tokoh dan ulama terkenal dunia berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah antara 12 hingga 20 Julai.
Majlis itu mengupas Dalail al-Khairat, kitab himpunan selawat selain Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Al-Jalalain karya ulama tersohor Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin as-Suyuti.
Selain sesi pengajian, Pameran Al-Wahyu pula memperaga pelbagai manuskrip dan mushaf berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.
Program Darul Ehsan Berselawat, sebahagian acara festival itu menerima sambutan luar biasa berikutan ribuan umat hadir bagi merasai keindahan dalam majlis mengagungkan Rasulullah SAW.
Pengunjung dari Seremban, Alif Amsyar Mohd Ezwan, 21, yang pertama kali menyertai majlis sedemikian sanggup menempuh perjalanan dua jam untuk sampai ke ibu negeri Selangor.
“Program seperti ini baik untuk mendidik khususnya generasi muda agar mereka lebih memahami dan sentiasa dekat dengan agama kerana ia memberi manfaat besar kepada diri secara rohani.
“Majlis berselawat seperti ini membuka hati anak muda untuk cintakan agama. Kita perlu didik anak kenal dan cintakan ALLAH dan Rasulullah SAW sejak dari rebung,” katanya.
Nadia Shamsuddin, 37, yang hadir bersama suami dan dua anak berusia lapan dan lima tahun kagum dengan kehadiran ribuan pengunjung dari pelbagai peringkat usia dalam majlis tersebut.
“Program ini juga boleh dijadikan sebagai platform untuk meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu sambil berselawat," katanya yang percaya acara itu boleh mendidik hati.
Muhammad Aiman Mohadnizam, 22, yang tergolong sebagai orang kurang upaya penglihatan pula bersyukur kerana berpeluang hadir sebagai ahli kumpulan nasyid Al-Madad dari Kuala Lumpur.
“Saya minat alunan qasidah dan selawat dari kumpulan Babul Mustofa. Program ini bagus kerana ia memupuk rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW dalam kalangan anak muda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
