Paip gas Petronas dijamin selamat, patuh piawaian antarabangsa - Timbalan Menteri

Kerajaan memberi jaminan sistem talian paip gas milik Petronas di seluruh jajaran di Malaysia masih selamat.
Kerajaan memberi jaminan sistem talian paip gas milik Petronas di seluruh jajaran di Malaysia masih selamat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa sistem paip gas milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di seluruh negara berada dalam keadaan selamat dan terkawal, berdasarkan hasil siasatan teknikal terperinci yang telah dijalankan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penilaian menyeluruh itu mendapati sistem paip berkenaan mematuhi standard piawaian antarabangsa yang diiktiraf.

"Pihak kementerian melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa komited memastikan keselamatan paip gas berada pada tahap tertinggi.

"Perkara itu bukan sahaja terpakai kepada pekerja industri, malah turut mengambil kira keselamatan orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas–Kuala Langat) berhubung siasatan punca kejadian letupan paip gas di Putra Heights serta jaminan keselamatan terhadap keseluruhan sistem paip gas di negara ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menjelaskan bahawa JKKP telah mengarahkan agar syarikat operator paip mengambil tindakan segera dalam melaksanakan langkah kawalan serta penambahbaikan bagi memastikan operasi sistem paip terus selamat dan berintegriti.

Jelasnya, antara langkah-langkah segera yang sedang digerakkan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi dan berpenduduk padat.

Selain itu, ujarnya, penilaian teknikal ke atas struktur paip juga dilaksanakan menggunakan teknologi terkini seperti Geo-Pipeline Inspection Gauge dan Electromagnetic Locator.

"Langkah itu selari dengan piawaian antarabangsa ASME B31.8 yang diguna pakai dalam industri ini.

Artikel Berkaitan:

"Penilaian risiko dari aspek geoteknikal dan sistem saliran turut dikemas kini bagi mengenal pasti sebarang potensi bahaya pada peringkat awal," jelasnya.

Abdul Rahman menambah, sistem pemantauan masa nyata juga dipasang bagi memantau perubahan luar biasa dalam operasi paip, di samping penambahan bilangan peranti pengesanan di lokasi-lokasi kritikal sebagai sebahagian daripada pelan pemantauan keselamatan berterusan.

Katanya lagi, aspek kesiapsiagaan kecemasan turut diberi keutamaan melalui peningkatan latihan dan semakan semula terhadap pelan tindakan sedia ada.

"Pada masa sama, kempen kesedaran keselamatan kepada masyarakat setempat juga sedang digerakkan bagi memastikan orang awam lebih peka dan mampu melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar jajaran paip gas," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut merujuk kepada penjelasan Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, yang sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights pada 1 April lalu adalah berpunca daripada keadaan tanah yang lembut dan lembap, bukannya akibat aktiviti di permukaan.

Menurut Husdin, hasil siasatan teknikal mendapati paip yang digunakan memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

Namun, bahagian bawah paip tersebut tidak disokong sepenuhnya oleh tanah, sekali gus mengakibatkan kegagalan struktur dan kebocoran gas yang akhirnya mencetuskan kebakaran.

Siasatan terhadap insiden tersebut yang dijalankan hampir tiga bulan melibatkan kerjasama JKKP bersama beberapa agensi lain, dan turut mengambil kira impak keselamatan awam, kerosakan infrastruktur serta gangguan bekalan gas dan elektrik yang berlaku di kawasan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!