Kebakaran Putra Heights: Tiada gangguan ketara pada fizikal paip gas

SUBANG JAYA - Keadaan fizikal paip saluran gas yang terlibat dalam insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights, Selasa lalu tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan yang ketara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengenal pasti sama ada kerja-kerja korekan oleh kontraktor terbabit mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja korekan yang dilakukan kontraktor tidak melebihi kedalaman tiga meter sepanjang kira-kira 30 meter dengan lebar sekitar 1.5 meter.
"Saluran gas berada pada kedalaman 5.6 meter, manakala paip kumbahan yang dipasang berada pada paras 2.1 meter.
"Hasil semakan mendapati keadaan fizikal saluran gas setakat ini tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan yang ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights pada Ahad.
Katanya, laluan jalan yang digunakan merentasi saluran paip gas Petronas merupakan jalan yang telah diluluskan pihak berkuasa.
"Kerja-kerja galian yang dijalankan semula menggunakan tiga jengkaut, satu jentolak dan satu backhoe itu bertujuan untuk membuka semula kawasan berkenaan.
"Selain itu, kerja itu dilaksanakan untuk meninjau kedudukan paip gas terbabit," katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh dan belum dapat disahkan sama ada kerja-kerja korekan tersebut mengganggu atau mencetuskan kebakaran pada saluran paip gas berkenaan.
“Kerja-kerja ini dipantau secara bersama oleh polis, Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor,” katanya.
Jelas beliau, keseluruhan laluan saluran paip masih perlu didedahkan sepenuhnya untuk membolehkan siasatan lengkap dijalankan dan sebarang kemungkinan dinilai dengan teliti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

