Apa selepas Himpunan Turun Anwar?

DATARAN Merdeka sekali lagi menjadi saksi sejarah. Kelmarin, dianggarkan puluhan ribu rakyat membanjiri medan simbolik itu dalam satu gelombang himpunan yang digelar Turun Anwar.
Dengan laungan, sepanduk, dan suara rakyat yang menggelegar, mesejnya jelas iaitu ketidakpuasan terhadap kepimpinan semasa yang semakin memuncak. Tetapi soalnya kini, apa selepas lautan manusia itu surut?
Gerakan rakyat tidak seharusnya berakhir dengan sorakan di jalanan.
Sejarah membuktikan, perubahan sebenar berlaku apabila semangat himpunan diterjemah kepada tindakan berstrategi dan berterusan.
Jika tidak, himpunan itu hanya sekadar menjadi 'festival' luahan emosi.
Bergema laungan dari setiap jalan. Berarak menuju ke Dataran Merdeka membawa suara yang dipendam. Penuh tenaga tetapi hakikatnya cepat dilupakan.
Suara keramat di jalanan tak beri makna jika tidak diterjemahkan pada pilihan raya umum.
Pemimpin gerakan perlu mengelak daripada terlalu mendewakan angka kehadiran.
Ya, puluhan ribu bukan angka kecil. Tapi rakyat yang hadir mahu lebih daripada angka.
Mereka mahu hala tuju. Mahu tahu apa pelan selepas ini? Apa tekanan politik yang akan dilaksanakan? Apa bentuk perubahan yang dituntut secara konkrit?
Kedua, adakah gerakan ini benar-benar inklusif atau hanya dikuasai kelompok tertentu yang bermain sentimen?
Rakyat marhaen tak mahu dijadikan bidak dalam permainan kuasa. Himpunan yang berjaya harus memperjuangkan nasib rakyat, bukan sekadar mencaturkan siapa naik siapa turun di Putrajaya.
Ketiga, selepas laungan “Turun Anwar!”, siapakah yang mereka mahu naik sebagai perdana menteri?
Jangan hanya menjatuhkan tetapi tanpa alternatif yang jelas. Politik kosong tanpa visi bukan reformasi, itu hanya dendam berulang.
Keempat, pihak kerajaan perlu mendengar isyarat ini dengan hati terbuka, bukan angkuh membalas dengan sindiran atau ugutan.
Puluhan ribu turun ke jalan bukan hal remeh. Ia petunjuk krisis keyakinan yang nyata.
Mungkin ada yang berkata, “Alaa... demo ni membazir je. Takkan jatuh kerajaan pun.”
Jika pemimpin terus menutup telinga, jangan terkejut jika ombak yang sama bertukar menjadi tsunami politik seperti mana yang berlaku pada tahun 2018.
Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah kuasa sebenar bukan di tangan pemimpin, tetapi di tangan rakyat.
Kerana akhirnya, rakyat yang akan menilai dan membuat keputusan pada pilihan raya kelak. Tunggulah PRU16 nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
