Himpunan Turun Anwar: Polis siasat patung mirip PM disebat

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat tindakan peserta Himpunan Turun Anwar yang membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri dalam perhimpunan yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kes berkenaan kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 41 Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, polis telah mengesan patung tersebut di sekitar Masjid Negara dan telah mengambil rakaman video sebagai bukti.
"Seperti yang kita jelaskan sebelum ini, sekiranya terdapat sebarang salah laku yang melanggar undang-undang di bawah mana-mana akta, kita akan ambil tindakan.
"Terdapat empat laporan diterima polis berhubung himpunan berkenaan. Satu kes iaitu melibatkan patung menyerupai Perdana Menteri disiasat oleh USJT manakala tiga lagi laporan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana melibatkan penerbangan dron," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa dron tidak dibenarkan diterbangkan semasa himpunan tersebut berlangsung.
Dalam pada itu, Mohamed Usuf turut memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan penyebaran risalah berunsur ekstremis semasa himpunan berkenaan.
"Setakat ini tiada laporan polis. Jika ada laporan, kita akan siasat," katanya.
Dalam Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu, polis memaklumkan seramai kira-kira 18,000 orang telah menghadiri himpunan aman tersebut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, semua elemen kawalan keselamatan telah dilaksanakan secara profesional dan beretika.
PDRM turut melaksanakan tugas pemantauan dan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran perhimpunan yang melibatkan beberapa lokasi tumpuan, termasuk sekitar Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
