Jangan pandang ringan Himpunan Turun Anwar - MIC

TAPAH – Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu tidak wajar dipandang ringan oleh kerajaan, walaupun penyertaan masyarakat India dilihat tidak begitu menonjol.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, kehadiran masyarakat India yang kurang bukan bermakna mereka bersetuju sepenuhnya dengan apa yang sedang berlaku dalam negara.
Menurutnya, himpunan tersebut harus menyedarkan kerajaan mengenai tahap kepuasan rakyat ketika ini.
“Saya lihat memang kurang penyertaan masyarakat India, namun ini tidak bermakna mereka menyokong kerajaan secara total. Kita boleh jadi majoriti yang diam.
“Jangan anggap kerana mereka tidak turun, maka mereka tiada masalah. Itu tidak betul. Mungkin mereka diam, tetapi mereka juga tidak berpuas hati,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Makan Tengah Hari bersama NGO Parlimen Tapah dan pelancaran laman web Tapahku Sayang di Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Ahad.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, himpunan tersebut perlu dianggap sebagai satu amaran awal kepada kerajaan agar tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa.
“Terpulanglah kepada kerajaan sama ada hendak risau atau tidak. Tetapi saya anggap ini satu ‘wake-up call’. Dulu waktu Barisan Nasional memerintah, kita pun buat kesilapan yang sama.
“Yang penting ialah mesej rakyat tidak berpuas hati itu jelas. Jadi, kerajaan kena dengar dan jangan syok sendiri,” tegasnya.
Tambahnya, kehadiran bukan ukuran sebenar terhadap sentimen rakyat.
Dalam perkembangan lain, Saravanan menjelaskan bahawa pelancaran laman sesawang Tapahku Sayang bertujuan memudahkan rakyat di kawasan Parlimen Tapah mendapatkan maklumat dan bantuan tanpa perlu melalui saluran parti politik.
Katanya, portal tersebut diwujudkan bagi memastikan tiada mana-mana pihak, khususnya bukan ahli parti terpinggir daripada bantuan yang disediakan oleh wakil rakyat.
“Kita dapati ramai yang tidak tahu mengenai program dan bantuan yang disediakan kerana mereka tidak berada dalam radar parti.
“Melalui laman ini, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau individu boleh mohon secara langsung. Contohnya, bantuan kematian atau bantuan kewangan untuk anak masuk IPT. Maklumat akan terus sampai kepada pejabat Parlimen dan ADUN,” jelasnya.
Ujarnya, inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya di Perak dan boleh dijadikan contoh kepada kawasan Parlimen lain.
Saravanan berkata, pendekatan ini juga akan menjimatkan masa dan tenaga rakyat yang sebelum ini terpaksa hadir sendiri ke pejabat wakil rakyat untuk mendapatkan bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


