Dari Jawa Ke Thailand, berpesta rasa di Pasar Saloma

SHAH ALAM - Masakan ayam geprek yang merupakan resipi turun-temurun selama 10 tahun dilihat mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sepanjang penganjuran Pasar Saloma di Karnival Siang Malam Karangkraf.
Peniaga Ayam Geprek Sambal Petir, Norma Ramlan, 56, berkata, setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam penyediaan nasi ayam, beliau memilih untuk meneroka resipi perniagaan baharu bagi menarik minat pelanggan.

Ujar Norma yang juga ibu kepada empat orang anak, keistimewaan menu ayam geprek terletak pada sambalnya yang dihasilkan sendiri mengikut cita rasa asli warisan keluarganya dari Jawa, Indonesia.
“Idea untuk meletakkan nama Ayam Geprek Sambal Petir ini saya fikir sendiri kerana tidak mahu ia kedengaran terlalu biasa.
“Orang Jawa kebiasaannya suka sambal yang pedas menyengat. Jadi saya pastikan sambal yang dijual pun pedas.
“Selain itu, kita masih kekalkan tempe dan tauhu dalam hidangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, turut menarik perhatian ialah seorang pengusaha makanan yang menggunakan pendekatan unik dengan menamakan perniagaannya sebagai Apam Balik Kenduri Kahwin.

Peniaga Apam Balik Kenduri Kahwin, Mohd Zamani Rasidek, 46, berkata, beliau dan isterinya memilih nama tersebut bagi menggambarkan konsep yang diusahakan dalam perniagaan mereka.
“Kami sudah biasa menyertai majlis-majlis perkahwinan setiap minggu. Jadi, kami bawa konsep dan nama itu untuk pelanggan di Pasar Saloma ini.

“Sepanjang setahun kami menguruskan perniagaan ini, antara yang mendapat permintaan tinggi ialah apam balik coklat dan keju,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga nasi khamok, Azmi Yusriadi, 27, berkata, resipi masakannya pula diilhamkan oleh rakan-rakan sekeliling yang pernah ke luar negara.
“Asalnya ia merupakan masakan Nasi Ayam Khao Mok, yang popular di Thailand. Ia lebih kurang sama seperti nasi briyani, namun ada keistimewaan tersendiri.
“Ada kawan-kawan saya dari Perlis dan Kedah yang pernah ke Thailand, mereka ajar saya menu itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

