Waspada ancaman geopolitik rantau ASEAN – PM

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa konflik bersenjata yang berlaku di rantau Asia Tenggara tidak boleh dipandang ringan berikutan kedudukan geopolitik ASEAN yang amat strategik dan terdedah kepada pelbagai bentuk campur tangan luar.
Menurut beliau, Malaysia walaupun berada dalam keadaan stabil dan aman, negara ini perlu berwaspada dan belajar daripada pengalaman negara Thailand dan Kemboja yang berhadapan masalah pergolakan dan sempadan.
“Saya percaya kedua-dua pimpinan Thailand dan Kemboja nampak sedia (berdamai), namun kita tetap kena waspada kerana rantau ASEAN ini terlalu strategik. Maka wujudlah usaha-usaha menimbulkan persengketaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama pimpinan PKR Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Anwar sebelum ini telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi menyatakan kebimbangan Malaysia dan menggesa agar kedua-dua negara menghentikan ketegangan di sempadan secara prinsip.
“Thailand dan Kemboja setuju untuk hentikan serangan, tapi masih ada isu teknikal di sempadan. Saya juga minta Menteri Luar teruskan rundingan diplomatik,” ujarnya.
Dalam insiden terbaharu, Thailand mendakwa sembilan orang awam terkorban dan 14 lagi cedera selepas serangan artileri yang didakwa dilakukan oleh tentera Kemboja.
Bagaimanapun, Kemboja menafikan dakwaan itu dan menyatakan serangan balas dilakukan selepas mereka diserang terlebih dahulu oleh tentera Thailand.
Insiden ini berlaku selepas Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja, menjadikan konflik sempadan tersebut kini memasuki fasa paling tegang sejak 2011.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

