RM480 juta perkukuh operasi AADK dan pusat pemulihan

Saifuddin (dua, kanan) mengiringi Anwar menyampaikan anugerah ikon antidadah kepada Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring pada Sambutan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman, Jitra pada Jumaat. Hadir sama Muhammad Sanusi (dua kiri).
Saifuddin (dua, kanan) mengiringi Anwar menyampaikan anugerah ikon antidadah kepada Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring pada Sambutan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman, Jitra pada Jumaat. Hadir sama Muhammad Sanusi (dua kiri).
A
A
A

JITRA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM480 juta bagi melancarkan operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan menguruskan pusat-pusat pemulihan penagih bagi tahun 2025, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, dana tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menangani ancaman dadah yang telah lama diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara.

“Bagi tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukkan RM480 juta untuk operasi AADK dan pengurusan pusat-pusat pemulihan penagih. Insya-ALLAH, kita akan mohon tambahan peruntukan lebih RM500 juta agar usaha ini dapat diperkukuh.

“Dari aspek penguatkuasaan, kita memiliki beberapa akta yang kukuh termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah. Kedua-dua akta ini telah dipinda tahun lalu bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pengedar dan sindiket,” katanya berucap pada Sambutan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan sambutan dan turut bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelas Saifuddin, peruntukan ini membuktikan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk memperkukuh dasar, penguatkuasaan dan pemulihan secara menyeluruh.

Beliau turut menyentuh tentang cabaran logistik yang dihadapi, termasuk kawalan kawasan maritim seluas 680,000 kilometer persegi yang menjadi laluan utama bagi 80 peratus bekalan dadah masuk ke negara.

“Namun begitu, kita akui cabaran logistik masih wujud. Dengan bilangan helikopter dan kapal yang terhad, kita telah memohon penambahan peralatan daripada YAB Perdana Menteri. Syukur, permohonan kita telah mendapat perhatian.

“Kerajaan juga memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui perkongsian risikan dan operasi serantau bersama ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyeru agar sambutan Hari Antidadah tidak hanya menjadi acara tahunan, sebaliknya titik tolak kepada gerakan nasional yang bersifat praktikal dan menyeluruh.

Menurutnya, daripada data yang dikumpul AADK, polis narkotik, Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan, kerajaan telah mengaplikasikan kaedah analisis seperti yang diguna pakai oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

Berdasarkan kadar penagihan setiap 100,000 penduduk, antara daerah paling terkesan ialah Pendang di Kedah, Kuala Krai (Kelantan), dan Bachok (Kelantan), manakala dari segi negeri, Terengganu mencatat kadar tertinggi, diikuti Perlis, Kelantan dan Kedah.

“Kita tidak lagi berada pada era menuding jari atau mengeluh. Setiap pemimpin di semua peringkat sama ada di peringkat kerajaan, masjid, komuniti, atau sekolah perlu terlibat secara aktif. Sambutan seperti ini tidak wajar berakhir dengan bunga manggar dan perarakan sahaja. Kita mesti gerakkan satu gerakan nasional yang benar-benar berkesan.

“Saya juga menyeru agar seluruh kepimpinan negeri Kedah, termasuk Kerajaan Negeri, dapat bersama mencari jalan agar negeri ini dapat keluar daripada senarai empat teratas bagi kadar penagihan dadah. Ini bukan soal politik, tetapi soal tanggungjawab bersama,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!