Covid-19: Jemaah tabligh Sabah di Masjid Sri Petaling diminta tampil


Proses disinfeksi dijalankan berikutan seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb, disahkan positif Covid-19. -Foto Bernama

Proses disinfeksi dijalankan berikutan seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb, disahkan positif Covid-19. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU- Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar menggesa jemaah dari Sabah yang terlibat dalam ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling pada 23 Februari hingga 1 Mac lepas agar segera tampil dan membuat saringan kesihatan di klinik mahupun hospital berdekatan.

Beliau berkata langkah itu bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) berikutan terdapat dalam kalangan jemaah daripada perhimpunan itu didapati positif virus berkenaan.

"Kita tidak mengatakan keseluruhannya (jemaah) membawa virus ini tetapi sudah terbukti ada beberapa daripada mereka yang dikenalpasti positif (Covid-19) dan jumlah dijangkiti makin meningkat mendadak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie negeri Sabah dan Ketua Pendakwa Syarie negeri Sabah oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada kakitangan Kementerian Kesihatan yang bertungkus lumus tanpa mengira waktu berusaha mencegah Covid-19 selain merawat mereka yang dijangkiti virus itu.

"Mereka bekerja 24 jam dan berada di barisan hadapan. Kita berdoa semoga semua petugas ini dan rakyat khususnya di Sabah agar bertenang dan bersabar dalam menerima ujian ini," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: