Himpunan Turun Anwar: Polis terima 60 laporan

Mohamad Usuf.
Mohamad Usuf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 60 laporan polis berhubung Himpunan Turun Anwar di ibu kota pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, perhimpunan itu dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.

"Setakat ini kita menerima 60 laporan di seluruh negara berhubung himpunan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamed Usuf berkata, peserta dijangka berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

"Bagi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan awam di tahap maksimum, pihak pengendali perkhidmatan awam dan pihak polis akan ditambah di beberapa stesen yang terbabit," katanya.

Mohamed Usuf berkata, antara stesen yang terbabit termasuk Stesen LRT KL Sentral, Masjid Jamek, Pasar Seni, Dang Wangi, Plaza Rakyat dan Bandaraya; serta Stesen MRT dan Monorail seperti Muzium Negara, Merdeka, Bukit Bintang, Imbi, Raja Chulan, Bukit Nanas, Medan Tuanku dan Chow Kit.

"Kita juga menjangkakan berlaku kesesakan jalan raya menghala ke pusat bandar berikutan pertambahan jumlah peserta perhimpunan memasuki kawasan yang terbabit, namun tiada penutupan jalan akan dilaksanakan.

"Penganjur dan peserta dinasihatkan mematuhi semua peraturan serta undang-undang sedia ada semasa berhimpun, selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, antara larangan semasa perhimpunan termasuk membawa senjata atau objek tajam, mercun atau suar, sepanduk provokatif, ucapan berunsur fitnah, membawa kanak-kanak dan tindakan melawan arahan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran," ujarnya.

Pada Jumaat, Mohamed Usuf dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi daripada penganjur.

Beliau berkata, polis menugaskan lebih 2,000 anggota bagi kawalan keselamatan perhimpunan terbabit yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!