Warga asing kendali restoran, kedai runcit tanpa lesen digempur

Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah kedai runcit yang diusahakan warga asing di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini pada Khamis.
Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah kedai runcit yang diusahakan warga asing di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Taktik licik warga asing yang menjalankan perniagaan restoran dan kedai runcit tanpa lesen terbongkar apabila empat premis di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini digempur pihak berkuasa pada Khamis.

Serbuan seawal jam 9 pagi itu dijalankan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Difahamkan, semua premis terbabit beroperasi antara satu hingga lima bulan lalu tanpa kebenaran sah, malah dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, Operasi Bersepadu Premis Warga Asing selama lima jam itu hasil maklumat awam berkaitan aktiviti perniagaan tidak sah di kawasan berkenaan.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tahap kebersihan tidak memuaskan, pengendalian makanan tidak mengikut syarat dan tiada suntikan tifoid,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menjelaskan, lebih membimbangkan, ada pemilik premis dikesan membuang sisa ke dalam longkang awam tanpa rasa bersalah.

Ujar beliau, MPKS turut mengeluarkan enam kompaun dan notis kesalahan, manakala empat premis diarah tutup serta-merta.

"Jabatan Pelesenan MPKS mencadangkan penarikan balik lesen ke atas empat premis kerana melanggar syarat-syarat lesen asal.

Artikel Berkaitan:

"KPDN pula mengenakan empat kompaun membabitkan isu kawalan harga dan pencatutan.

"SSM turut mengambil tindakan terhadap dua syarikat yang gagal mematuhi syarat paparan papan tanda perniagaan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!