Kegiatan prebet sapu sasar pelancong warga asing terbongkar

Antara kenderaan dipercayai menjalankan kegiatan prebet sapu yang ditahan dalam operasi dijalankan di Subang Jaya pada Isnin.
Antara kenderaan dipercayai menjalankan kegiatan prebet sapu yang ditahan dalam operasi dijalankan di Subang Jaya pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA – Kegiatan empat lelaki warga asing menjalankan perkhidmatan prebet sapu secara haram sejak satu hingga dua tahun lalu akhirnya terbongkar apabila mereka dicekup dalam satu operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berhampiran sebuah pusat beli belah di sini pada Isnin.

Kesemua individu berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun itu terdiri daripada tiga warga Yaman dan seorang warga Dubai dipercayai mengenakan caj sekitar RM250 bagi perjalanan dari hotel ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi bermula kira-kira jam 10.30 pagi hingga 2 petang itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pengangkutan tanpa lesen sah.

"Empat buah kenderaan telah disita ke JPJ Shah Alam, terdiri daripada satu Perodua Alza, dua Hyundai Starex dan sebuah Toyota Innova.

"Siasatan mendapati kenderaan terbabit digunakan untuk mengangkut penumpang secara haram, terutama pelancong asing," katanya pada Khamis.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah penyalahgunaan LKM, tiada lesen memandu sah serta menjalankan aktiviti pengangkutan awam tanpa kebenaran.

"Tindakan dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sitaan kenderaan terlibat dijalankan di bawah Seksyen 64 akta sama," katanya.

Menurutnya, JPJ Selangor akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan pengangkutan haram yang melibatkan penyalahgunaan kenderaan persendirian termasuk oleh warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama ini boleh menyalurkan aduan ke aduantrafik@jpj.gov.my atau menerusi aplikasi e-Aduan dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan butiran kejadian.

"Perkhidmatan prebet sapu ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!