Jemaah Dakwah dan Tabligh gesa 28 markasnya patuh arahan

Wakil pihak pengurusan Masjid dan Madrasah Sri Petaling (dari kiri) Khairi Akbar, Ustaz Mansur Ismail dan Dr Fauzi Othman.
Wakil pihak pengurusan Masjid dan Madrasah Sri Petaling (dari kiri) Khairi Akbar, Ustaz Mansur Ismail dan Dr Fauzi Othman.
A
A
A

SHAH ALAM - Pucuk pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia menggesa semua 28 markasnya di seluruh negara mematuhi arahan dan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menjalani pemeriksaan kesihatan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong berkata, pihak KKM telah mengingatkan berulang kali bagi memastikan semua jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling selama tiga hari itu supaya mendapatkan rawatan perubatan.

Menurutnya, pihak berkuasa krisis nasional yang terdiri daripada pelbagai jabatan sedang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dalam menangani krisis wabak yang melanda.

“Mereka telah mengingatkan kita (jemaah tabligh) untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam mencegah penularan wabak tersebut.

“Jemaah tabligh perlu segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing atau CPRC hotline untuk mendapatkan bimbingan dan rawatan perubatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa sama, Abdullah berkata, semua aktiviti melibatkan semua jemaah tabligh perlu dihentikan serta-merta buat masa ini.

“Sepanjang tempoh kuarantin Masjid Sri Petaling, tiada jemaah dibenarkan datang dan tiada jemaah akan dihantar keluar dari markas kita sehingga keputusan mesyuarat selanjutnya insya-ALLAH.

“Kami harap semua keputusan ini akan dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peserta perhimpunan tabligh diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari mengikut tarikh akhir.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan melalui satu sesi sidang video membabitkan KKM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak Masjid Jamek Sri Petaling.

Jelasnya, pihak pengurusan Masjid Jamek (Sri Petaling) akan membantu dan bekerjasama dengan KKM dan Jakim untuk terus berkomunikasi dengan ahli jemaah tabligh terutama bagi memastikan semua yang terlibat dapat hadir untuk pemeriksaan, saringan atau ujian yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta perhimpunan tabligh diletakkan di bawah Seksyen 15(1)