Kenaikan tarif air tidak akan bebankan rakyat - Sanusi

Muhammad Sanusi (tengah) ketika gimik pelancaran logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi (tengah) ketika gimik pelancaran logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) di Wisma Darul Aman.
A
A
A

 

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan memastikan semakan semula tarif air yang dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan tidak akan membebankan rakyat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jangkaan kadar kenaikan yang dicadangkan ialah dua sen dan tidak melebihi lima sen bagi setiap meter padu.

Menurutnya, permohonan rasmi sudah dibuat oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengikut mekanisme ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan perlu menunggu kelulusan sebelum dikuatkuasakan.

“Saya fikir kenaikan tidak lebih daripada lima sen. Kita cadang mungkin dua sen dan tunggu kelulusan daripada SPAN. Bayaran minimum juga mungkin naik, sebelum ini RM6 mungkin naik seringgit.

“Kali terakhir kenaikan tarif air dibuat pada tahun 2012, sedangkan selepas itu tarif elektrik naik setiap tahun, tetapi tarif air kekal sama, ini memberikan tekanan besar kepada operator air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, penyelarasan tarif air diperlukan dalam memastikan bekalan air bersih dapat dibekalkan kepada rakyat selain bagi menampung kos elektrik dan lain-lain kos yang semakin meningkat.

“Semakan tarif itu perlu terutama membabitkan kos elektrik yang mencecah 60 peratus daripada keseluruhan kos rawatan dan pengagihan air.

Artikel Berkaitan:

“SADA bayar RM128 juta setahun hanya untuk bil elektrik, mewakili 60 peratus kos operasi.

"Kos nombor satu adalah elektrik, diikuti kos tenaga kerja, bahan kimia untuk rawatan air dan penyelenggaraan infrastruktur.

“Kalau berlaku kenaikan tarif elektrik, operator tertekan sebab kos makin tinggi, ia mendatangkan kesan besar kepada operator air,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan memastikan kenaikan tarif air tidak membebankan rakyat, dengan mengekalkan konsep penggunaan berhemah di mana pengguna yang menggunakan air secara berlebihan akan membayar lebih.

“Kebanyakan operator air di seluruh negara terpaksa menanggung beban kos rawatan air dan penyelenggaraan infrastruktur bekalan secara berterusan, bukan Kedah sahaja,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menjelaskan struktur kawal selia yang dilaksanakan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) apabila aset bekalan air negeri sudah dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebagai sebahagian usaha penyusunan semula hutang air negeri.

"Dulu Kedah ada hutang air RM2.3 bilion, selepas WSIA, semua aset diambil alih PAAB dan kerajaan negeri hanya bayar sewa pajakan yang dikira sebagai bayaran hutang balik.

"Operator air pula mesti 100 peratus milik kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, di bawah WSIA, mana-mana syarikat swasta tidak boleh mengambil alih syarikat operator air negeri, justeru menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri bercadang melepaskan pegangan dalam SADA sebagai tidak berasas.

“Operator air hakikatnya sudah ditakluk oleh Persekutuan. Bawah akta tersebut, semua operatir mesti dimiliki 100 peratus oleh kerajaan negeri, tak boleh diswastakan.

"Sebab itu bila ada pihak nak ambil alih SADA, kita tak bagi sebab undang-undang tak benarkan,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!