Naik tarif air: Timbang dulu kemampuan rakyat

WAJARKAH pelarasan tarif air di Negeri Sembilan dilakukan lagi selepas baharu sahaja dinaikkan kadarnya setahun lalu?
Mengikut rekod, kali terakhir tarif air dinaikkan adalah pada 1 Februari tahun lalu, membabitkan kenaikan 29 peratus iaitu antara 16 hingga 24 sen bagi setiap meter padu.
Terbaharu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan pelarasan kali ini dijangka melibatkan kenaikan sekitar tujuh peratus bagi kategori pengguna domestik.
Bagaimanapun, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) memberitahu permohonan terbaharu ini masih belum dimuktamadkan kerana perlu melalui proses kelulusan di peringkat kerajaan Persekutuan selepas diteliti oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
SAINS memberitahu, cadangan itu dibuat bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat dan memastikan kelestarian perkhidmatan bekalan air di negeri ini.
Ia juga penting bagi menampung kos naik taraf infrastruktur dan penyelenggaraan aset-aset air yang semakin uzur seperti paip jenis simen asbestos yang kerap pecah.
Selain itu, permintaan bekalan air semakin meningkat terutama di kawasan pesat membangun seperti Seremban dan Port Dickson, selain pertambahan penduduk melebihi 700,000 orang serta projek pembangunan industri di kawasan Malaysian Vision Valley 2.0, Sendayan.
Cadangan semakan semula kadar tarif ini dijangka melibatkan lebih 490,000 akaun pelanggan di seluruh Negeri Sembilan.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kenaikan tarif air di Negeri Sembilan tidak bermaksud segala masalah berkaitan paip pecah, tangki rosak dan bekalan air terputus akan dapat diselesaikan serta-merta.
Ujarnya, kerajaan negeri masih memerlukan perancangan berfasa mengikut keperluan dan keutamaan kawasan, selain mengambil kira kedudukan kewangan semasa.
Aminuddin berkata, SAINS telah membelanjakan sekitar RM20 juta setahun untuk kerja baik pulih dan penggantian paip lama, namun jumlah itu masih belum mencukupi bagi menampung keperluan menyeluruh dalam tempoh singkat.
Beliau memaklumkan kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta daripada Persekutuan bagi melaksanakan lebih banyak kerja penyelenggaraan dan penggantian infrastruktur air di negeri ini.
Sementara itu, Pemuda Amanah Negeri Sembilan berpendapat cadangan pelarasan tarif air itu tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang kerana rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan ekonomi.
Pengarah Komunikasinya, Zainal Lufti Zainal Fitry berkata, jika tarif air turut dinaikkan, ia akan menambah beban kewangan terutama kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).
Pihaknya mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil langkah alternatif iaitu menggunakan dahulu dana rizab Negeri Sembilan yang kukuh iaitu RM1.02 bilion pada 2023.
SPAN sebelum ini mengesahkan telah menerima permohonan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidmatan di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu.
Bagaimanapun, SPAN berkata, pihaknya masih meneliti permohonan daripada Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang tersebut.
Pelarasan tarif air sememangnya mempunyai asas dari sudut keperluan teknikal dan operasi terutamanya untuk menampung kos penyelenggaraan dan memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.
Waktu pelaksanaannya perlu dipertimbangkan. Dalam suasana ekonomi yang masih mencabar, sebarang pelarasan harus dilakukan dengan berhati-hati, telus dan mengambil kira kemampuan rakyat.
Kerajaan negeri wajar mendengar suara rakyat dan mempertimbangkan cadangan alternatif yang lebih sesuai termasuk penggunaan sementara dana rizab negeri, pelarasan secara berperingkat atau mengekalkan tarif asas bagi penggunaan domestik yang minimum.
Segala keputusan harus dilaksanakan dengan strategi yang seimbang antara keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
*Norafiza Jaafar ialah Ketua Biro MNS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

