Kerajaan Perak, PETRA kenal pasti jajaran projek air Sungai Perak-Bukit Merah

SITIAWAN - Kerajaan Perak sedang giat bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi mengenal pasti jajaran terbaik untuk pelaksanaan projek penyaluran air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA diadakan pada Rabu bagi membincangkan keperluan mendesak projek tersebut.
Menurutnya, usaha tersebut dilakukan sebagai usaha mempercepatkan projek berkenaan yang amat diperlukan ketika ini terutama bagi kawasan pertanian di utara Perak.
“Fokus utama sekarang ialah mengenal pasti jajaran yang paling sesuai dan berimpak minimum. Kita tidak mahu laluan projek ini menyebabkan banjir, memerlukan pengambilan tanah yang banyak atau memaksa penduduk berpindah.
“Empangan Bukit Merah sering kering setiap kali musim kemarau dan menyukarkan pelaksanaan pembenihan awan kerana ia bergantung kepada faktor angin. Jadi, projek ini perlu disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14, Lekir di sini yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching pada Khamis.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut memohon agar kertas cadangan projek itu dibincangkan bersama negeri terlebih dahulu sebelum dibawa ke Jemaah Menteri yang dijangka sekitar Ogos ini.
“Kita mahu beri pandangan sebelum keputusan akhir dibuat kerana projek ini melibatkan banyak pihak, termasuk petani di utara Perak, pembangunan KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian), dan juga permintaan air dari Pulau Pinang.
“PETRA telah memberi maklum balas positif dan kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri,” katanya.
Tambah beliau, KIGIP dijangka siap pada penghujung 2028 dan mula beroperasi Januari 2029 namun penyelesaian kepada isu bekalan air pertanian tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

