eHati: Siasatan masih berjalan, tunggu laporan JAIS - Menteri Agama

KEPALA BATAS - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar masih menunggu laporan siasatan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung program motivasi rumah tangga oleh Syarikat eHati International Sdn Bhd.
Menurutnya, ketika ini, siasatan oleh JAIS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berlangsung berhubung program berkenaan.
"Siasatan dijalankan oleh JAIS dan PDRM kerana kes ini melibatkan pelanggaran di bawah dua peruntukan undang-undang berbeza iaitu jenayah syariah dan kanun keseksaan.
"Siasatan masih berjalan dan kedua-dua pihak itu sedang meneliti keterangan daripada saksi-saksi terlibat bagi melengkapkan proses tersebut," katanya ketika ditemui di Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Penaga di sini pada Rabu.
Tambahnya, JAIS dan PDRM akan terus bekerjasama khususnya dalam urusan pengambilan keterangan saksi.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, beberapa individu telah dipanggil untuk membantu siasatan.
“Beberapa orang saksi sudah dipanggil dan proses untuk mendapatkan keterangan daripada pihak penganjur juga sedang dijalankan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Kes masih lagi dalam siasatan, jadi kita tunggu hasil siasatan tersebut.
"Bagi pihak polis, kita serahkan sepenuhnya kepada mereka untuk peruntukan di bawah kesalahan kanun keseksaan," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan terhadap pasangan didakwa terbabit program motivasi rumah tangga yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan unsur syirik sudah dimulakan dengan kedua-dua mereka akan dipanggil memberi keterangan kepada JAIS.
Ia susulan laporan rasmi berhubung penganjuran program terbabit yang diterima pihak JAIS baru-baru ini.
Selain itu, tindakan lanjut berhubung program terbabit akan dimuktamadkan selepas siasatan diselesaikan JAIS.
Terdahulu, program motivasi dan bimbingan yang dikatakan dikendalikan pasangan suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

