Sambung reman pengasas eHati, anak dan tiga lain ditolak

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat menolak permohonan pihak polis untuk sambung reman terhadap pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati, seorang anak mereka dan tiga lagi individu.
Majistret, Zur Azureen Zainalkefli memutuskan demikian terhadap empat suspek wanita dan dua lelaki berusia antara 26 hingga 47 tahun.
Ia membabitkan siasatan kes mengaibkan seseorang, berkelakuan tidak senonoh dan dakwaan melakukan jenayah kesalahan kecil.
Sementara itu, peguam, Dato M Reza Hassan yang mewakili empat daripada semua suspek itu berkata, pihak polis memohon lanjutan tahanan selama sehari bagi membolehkan jabatan lain membuat siasat.
Menurutnya, lanjutan masa dibuat kerana pihak polis menghujahkan, tempoh tiga hari yang diberi mahkamah sebelum ini tidak mencukupi.
“Bagaimanapun saya menghujahkan, tiada sebab untuk pasukan polis memohon bagi pihak jabatan itu sedangkan mereka boleh membuat permohonan sendiri mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
“Lebih- lebih lagi jabatan itu mempunyai akta sendiri sekiranya mahu membuat sebarang siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Rabu lalu, semua suspek ini direman tiga hari berakhir Jumaat selepas Majistret, Ameera Mastura Khamis membenarkan permohonan daripada pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 509 dan 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Sebelum ini, pihak polis memberitahu semua peserta program motivasi itu akan dipanggil untuk diambil keterangan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dilancarkan selepas satu kertas siasatan dibuka berkaitan kes berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan meminta Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat dakwaan aktiviti tidak bermoral yang berlaku semasa penganjuran program eHati di sebuah pusat konvensyen.
Artikel Berkaitan:
https://www.sinarharian.com.my/article/738904/berita/semasa/video-enam-termasuk-pengasas-ehati-anak-direman-tiga-hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

