Masyarakat perlu bijak memilih program motivasi

Masyarakat perlu lebih cakna dan berhati-hati dalam memilih program motivasi atau pembangunan diri. Gambar hiasan
Masyarakat perlu lebih cakna dan berhati-hati dalam memilih program motivasi atau pembangunan diri. Gambar hiasan
A
A
A

SKANDAL program eHATI yang tular baru-baru ini mengejutkan ramai pihak.

Program yang pada asalnya dikatakan sebagai inisiatif pembangunan kendiri dan motivasi didakwa hanyalah topeng kepada agenda lain.

Ini kerana terdapat dakwaan berlaku pelbagai aktiviti mencurigakan termasuk dua wanita melakukan tarian bogel di atas pentas ketika program berlangsung.

Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.

Perkara ini membuktikan bahawa tidak semua program motivasi membawa kebaikan.

Nama program yang indah dengan menjanjikan perubahan hidup, kekayaan spiritual, atau kejayaan peribadi sering kali menjadi alat untuk memperdaya golongan yang mencari harapan.

Sikap terlalu taksub kepada figura ‘guru motivasi’ atau ‘coach’ yang kononnya mempunyai kunci kejayaan juga menjadi punca.

Dalam banyak kes, peserta terlalu mempercayai bahawa hanya dengan mengikuti program tertentu, hidup mereka akan berubah secara drastik.

Kepercayaan membuta tuli seperti ini membuka ruang besar untuk eksploitasi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, masyarakat perlu lebih cakna dan berhati-hati dalam memilih program motivasi atau pembangunan diri.

Penyelidikan latar belakang penganjur, kandungan program serta testimoni yang sahih perlu dijadikan amalan sebelum menyertai mana-mana kursus.

Lebih membimbangkan, skandal sebegini mampu merosakkan imej program-program motivasi yang benar-benar berintegriti dan memberi manfaat.

Ia akan menimbulkan rasa curiga terhadap semua bentuk motivasi dan pembangunan diri, akhirnya pihak yang benar-benar jujur turut menerima tempias buruk.

Tidak salah mempunyai keinginan untuk berubah dan memperbaiki diri namun perlu bijak memilih program.

Jangan hanya menilai dari rupa atau populariti sesebuah program, sebaliknya cari fakta serta bukti yang boleh menyokong individu berkenaan menyertainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!