Penduduk 'letih' hadap banjir kilat berulang

Air melimpah ke jalan utama setiap kali hujan lebat sehingga menyebabkan penduduk terputus laluan.
Air melimpah ke jalan utama setiap kali hujan lebat sehingga menyebabkan penduduk terputus laluan.
A
A
A

SETIAP kali hujan lebat, kira-kira 3,000 penduduk dari enam taman perumahan di Kinding, Chemor, Perak terpaksa bersiap sedia dengan penutupan jalan secara ‘semula jadi’ akibat banjir kilat di Jalan Chemor–Tanjung Rambutan.

Taman perumahan yang terlibat ialah Taman Kinding Permai, Taman Kinding Hijauan, Taman Kinding Akasia, Taman Kinding Raya, Taman Kinding Flora dan Taman Kinding Perdana.

Bukan sahaja penduduk setempat, bahkan pengguna jalan raya juga berdepan risiko apabila melalui laluan tersebut kerana air menenggelami jalan sehingga sejauh 500 meter dengan kedalaman menghampiri satu meter.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SAIFULLAH AHMAD yang menyelami luahan penduduk berhubung kebimbangan mereka terhadap keadaan tersebut.

-------------------------------------

AKTIVITI harian penduduk di enam kawasan taman perumahan sering kali terganggu setiap kali hujan lebat berterusan lebih sejam kerana ia mengakibatkan banjir kilat yang menyebabkan jalan utama Chemor-Tanjung Rambutan terputus.

Seorang penduduk, Siti Nabila Shuib, 33, berkata, dia sudah beberapa kali mengalami situasi mencemaskan itu sejak berpindah ke Taman Kinding Akasia setahun lalu.

Menurutnya, banjir biasanya berlaku lewat petang atau malam dan pernah menyebabkan dia terperangkap lebih 30 minit ketika pulang ke rumah selepas mengambil anak dan membeli barang keperluan.

“Pernah keluar jam 6 petang, beli barang, dan masa sampai semula ke Kinding sekitar jam 7.30 malam, air dah naik. Saya tak dapat lalu, kena tunggu lama baru boleh masuk rumah.

Artikel Berkaitan:

“Setiap kali hujan lebat, kami akan rasa takut nak keluar rumah sebab tak tahu bila air akan naik,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang peniaga Rizal Misran, 45, berkata, masalah banjir kilat mula serius sejak kira- kira lima tahun lalu seiring dengan pembangunan perumahan baharu di kawasan berkenaan.

Rizal menunjukkan paras air banjir kilat yang berlaku baru-baru di kawasan berkenaan sehingga menjejaskan perniagaannya.
Rizal menunjukkan paras air banjir kilat yang berlaku baru-baru di kawasan berkenaan sehingga menjejaskan perniagaannya.

Menurutnya, banjir kilat menyebabkan perniagaannya terjejas teruk termasuk kerosakan barangan dan terpaksa menutup gerai untuk kerja pembersihan.

“Tahun lepas saja tiga kali banjir kilat berlaku. Bila air naik, bukan saja masuk dalam gerai, tapi jalan utama juga tak boleh dilalui. Pernah orang yang lalu jalan ini tunggu satu setengah jam untuk air surut baru boleh jalan.

“Kalau hujan malam, esok pagi memang saya tak meniaga sebab dah tahu mesti kedai penuh lumpur.

“Pernah juga rakan-rakan yang nak balik dari Tanjung Rambutan telefon tanya kawasan ini banjir atau tidak. Sebab jalan ini laluan utama ke Chemor,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Taman Kinding Raya, Mohd Tajudin Ismail, 56, berkata, laluan Chemor-Tanjung Rambutan menjadi nadi pergerakan harian penduduk setempat.

Menurutnya, apa yang membimbangkan ialah jika berlaku kecemasan kerana kenderaan seperti ambulans pasti mengambil masa untuk masuk ke kawasan perumahan disebabkan air naik agak tinggi.

Jelasnya, taman tersebut mula didiami pada 2016 dan kini mempunyai lebih 400 buah rumah.

“Setiap kali banjir, jalan terputus dan pengguna tak boleh lalu.

“Ini beri kesan kepada penduduk sekitar dan pengguna jalan raya yang bergantung kepada laluan itu.

“Kami harap pihak berkuasa tempatan dapat turun padang dan bantu selesaikan masalah ini demi keselesaan penduduk dan pengguna jalan raya,” katanya penuh pengharapan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!