ADUN terjah lombong kaolin cari jalan selesai isu banjir kilat

IPOH - Susulan laporan Sinar Harian isu banjir di jalan utama menghubungkan Chemor dengan Tanjung Rambutan pada Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad melakukan tinjauan ke kawasan perlombongan mineral kaolin di Changkat Kinding dekat sini.
Lawatan itu turut disertai wakil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak serta penduduk dari Kampung Changkat Kinding dan empat taman perumahan berdekatan iaitu Taman Kinding Raya, Taman Kinding Permai, Taman Kinding Hijauan dan Taman Kinding Akasia.
Menurut Muhamad Arafat, lawatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran sebenar serta menilai sama ada pengusaha lombong mematuhi peraturan ditetapkan terutamanya berkaitan pengurusan air hujan.
“Setiap kali hujan lebat, penduduk kampung mengadu air dari kawasan perlombongan mengalir masuk ke dalam kampung, meninggalkan kotoran dan menyebabkan mereka terpaksa membersihkan jalan setiap kali hujan berhenti.
“Begitu juga dengan penduduk di taman-taman perumahan yang terkesan apabila jalan utama ke Chemor dan Tanjung Rambutan dinaiki air sehingga menyukarkan keluar masuk kenderaan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Muhamad Arafat berkata, antara faktor utama dikenal pasti adalah kelajuan aliran air dari kawasan berbukit yang tidak dikawal dengan berkesan sehingga menyebabkan limpahan ke kawasan rendah.
Justeru katanya, cadangan pembinaan kolam tadahan bersaiz sesuai berhampiran kawasan perlombongan perlu disegerakan bagi menampung air hujan sebelum dialirkan secara terkawal.
“Kita mahu pastikan kolam tadahan ini dibina ikut spesifikasi, bukan sekadar syarat. Bila hujan lebat, air tidak terus turun laju dan menyusahkan penduduk serta pengguna jalan raya.
“Sistem perparitan juga perlu diselenggara dengan baik. Kita beri tempoh seminggu kepada pengusaha untuk selesaikan semua isu berbangkit,” tegasnya.
Dalam pada itu, Muhamad Arafat memaklumkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan kerja pembersihan longkang di kawasan berhampiran Jalan Chemor-Tanjung Rambutan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.
Bagi jangka masa panjang, katanya, pihaknya sedang menunggu anggaran kos daripada jabatan berkaitan untuk merangka sistem perparitan yang lebih menyeluruh.
“Sebaik anggaran kos diperoleh, kita akan kemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen Tambun agar tindakan susulan dapat diambil segera,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk, Hasmah Laili Sahaini, 63, berpuas hati dengan tindakan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengambil tanggungjawab membersihkan longkang berhampiran.
Dia yang tinggal di Taman Kinding Permai, mengakui penduduk juga turut berasa lega melihat tiada lagi rumput yang penuh di dalam parit di jalan masuk ke taman mereka.
Menurutnya, penghargaan juga harus diberikan kepada pihak pejabat ADUN Hulu Kinta, pejabat Ahli Parlimen Tambun, MBI serta semua pihak yang terlibat membantu mengusahakan penyelesaian jangka masa pendek bagi mengatasi isu banjir tersebut.
Sinar Harian pada Rabu menyiarkan keluhan penduduk yang berdepan isu banjir kilat menyebabkan mereka terperangkap akibat jalan terputus kerana dinaiki air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

